| Universiti Putra Malaysia

Pensyarah UPM dipilih dalam “Editor Spotlight” APA atas Kecemerlangan Program Editorial Fellowship

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 25 Mei – Universiti Putra Malaysia terus mengukuhkan reputasi akademik di peringkat antarabangsa apabila Pensyarah Kanan, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Dr. Tan Kit-Aun, baru-baru ini dipilih untuk slot “Editor Spotlight” oleh American Psychological Association (APA).

 

Pengiktirafan tersebut diberikan atas sumbangan cemerlang beliau menerusi Program Editorial Fellowship APA, sebuah inisiatif antarabangsa yang melatih dan membangunkan bakat kepimpinan dalam penerbitan ilmiah serta proses semakan rakan sebaya jurnal (journal peer review).

 

Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan penyelidikan, jaringan antarabangsa serta kepimpinan akademik di persada dunia.

 

Menurut Dr. Tan, penglibatan dalam program itu menjadi pengalaman bermakna dalam memperluas jaringan akademik antarabangsa, khususnya sebagai penyelidik dari Asia Tenggara.

 

“Program ini membuka peluang untuk saya berinteraksi secara langsung dengan para sarjana dan editor antarabangsa di luar jaringan akademik tempatan. Ia bukan sahaja meningkatkan kemahiran editorial saya malah mengukuhkan keyakinan untuk menyumbang secara lebih aktif dalam komuniti penerbitan ilmiah global,” katanya.

 

Beliau yang mempunyai minat penyelidikan yang tertumpu kepada dua bidang utama iaitu pembangunan serta pengesahan instrumen psikologi, khususnya berkaitan penggunaan internet bermasalah, selain keberkesanan program psikoedukasi dalam talian untuk pesakit psikiatri dan penjaga mereka.

 

Sepanjang mengikuti fellowship tersebut, Dr. Tan memperoleh pendedahan menyeluruh berkaitan proses editorial termasuk penilaian manuskrip, pemilihan penilai, pembuatan keputusan editorial, pengurusan proses semakan rakan sebaya jurnal serta aspek etika dalam penerbitan ilmiah.

 

Beliau berkata, bimbingan yang diterima sepanjang program sebagai antara pengalaman paling bernilai, khususnya di bawah tunjuk ajar Ketua Editor, Profesor Julie A. Suhr dan penyelaras semakan rakan sebaya, Angela Clinton.

 

“Bimbingan yang diberikan membantu saya memahami bagaimana kepimpinan editorial yang baik dapat mengimbangi ketelitian metodologi, keadilan dalam proses editorial, serta elemen bimbingan kepada penulis manuskrip,” katanya.

 

Selepas menamatkan fellowship tersebut, Dr. Tan turut dijemput untuk terus berkhidmat sebagai consulting editor selain kini menganggotai lembaga editorial beberapa jurnal antarabangsa.

 

Beliau juga berhasrat untuk terus aktif bersama APA sebagai penilai dan penyumbang kepada aktiviti editorial, di samping memperjuangkan penyertaan yang lebih inklusif daripada negara serta rantau yang kurang diwakili dalam penerbitan ilmiah global.

 

“Penyelidik muda perlu berani merebut peluang yang dapat memperluas horizon akademik mereka. Penglibatan dalam proses semakan rakan sebaya jurnal dan editorial merupakan antara cara penting untuk menyumbang kepada pembangunan ilmu di peringkat global,” katanya.

 

XZGEBAX~