Dewan

 

Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan dewan pelbagai saiz yang dilengkapi dengan kemudahan yang terkini. Dewan ini mempunyai pelbagai fungsi seperti menjadi tempat majlis rasmi atau tidak rasmi.

 

Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

 

Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) merupakan sebuah pusat kesenian dan kebudayaan yang unggul. Sebagai sebuah entiti yang mengendalikan hal yang berkaitan kesenian dan kebudayaan, PKKSSAAS turut menyediakan kemudahan prasarana dan fasiliti iaitu Dewan Besar dan Panggung Percubaan disamping peralatan muzik moden dan tradisional dan kelab-kelab kebudayaan dan kesenian.

Dewan Besar

Dewan Besar PKKSSAAS yang sepenuhnya ditadbir urus oleh Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) merupakan suatu entiti yang menyediakan fasiliti/medium berlangsungnya apa-apa jua majlis dan program anjuran Universiti antaranya Majlis Konvokesyen, Majlis Gemilang Akademia Putra (MGAP), Majlis
Gemilang Putra, Majlis Anugerah Naib Canselor, Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat UPM, Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Majlis Penyampaian Watikah PALAPES, Majlis Makan Malam DiRaja, Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu, Peperiksaan, Aktiviti Kebudayaan dan pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang tahun disamping sebagai satu medan dan wadah manifestasi dalam penganjuran aktiviti kebudayaan dan kesenian pelajar dan staf UPM khususnya.

Dewan Besar PKKSSAAS boleh memuatkan seramai 3000 orang dalam satu-satu masa. Terdapat pelbagai kemudahan di Dewan Besar seperti kemudahan sistem bunyi terkini, dua (2) skrin layar disamping peralatan asas dewan yang lain seperti kerusi dan meja.

Terdapat pelbagai kemudahan di Dewan Besar seperti kemudahan audio visual, iaitu P.A Sistem berkuasa tinggi dengan 40 buah mikrofon, P.A Sistem Karaoke dengan 12 mikrofon, LCD Projector dan TV LCD 48 inci.

Sebagai sebuah entiti yang mengendalikan hal yang berkaitan kebudayaan dan kesenian, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) turut menyediakan peralatan muzik dan tradisonal seperti set band, gitar, drum. Set karaoke dan kompang, ghazal, cak lempong, dan sebagainya.

Panggung Percubaan

Panggung Percubaan juga sepenuhnya ditadbir urus oleh PKKSSAAS dan merupakan suatu medan manifestasi seni bagi aktiviti pelajar dan warga kampus meliputi bidang seni persembahan, muzik, teater, tarian dan penganjuran bengkel-bengkel dalam menyemarakkan kebudayaan dan kesenian berasaskan kecemerlangan seni persembahan.
Panggung Percubaan juga banyak digunakan sebagai satu ruang untuk produksi percubaan dalam menghasilkan persembahan bermutu.

Panggung Percubaan boleh memuatkan seramai 500 orang dalam satu-satu masa serta dilengkapi dengan kemudahan asas seperti Bilik Menanti, bilik urusetia, bilik kawalan audio dan video serta sistem lampu/pencahayaan.

Di samping melaksanakan majlis rasmi universiti, Dewan Besar dan Panggung Percubaan juga ada menerima tempahan untuk mengadakan pelbagai aktiviti daripada agensi kerajaan, syarikat swasta, kolej swasta dan aktiviti persatuan pelajar dan program aktiviti akademik daripada setiap PTJ yang terdapat di UPM.

Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah​, sila layari laman web ini.

 

Dewan Bankuet

 

Dewan Bankuet UPM telah diuruskan oleh anak syarikat UPM Holdings Sdn Bhd, iaitu UPM Consultancy & Services Sdn Bhd. Dewan ini terletak di sebelah selatan kampus UPM dan boleh diakses melalui jalan keluar Lebuh Silikon lebuh raya KL – Seremban.

Dewan ini mempunyai kemudahan bilik menunggu untuk VIP, pentas, Sistem P.A, surau, ruang parkir dan ruang makan. Dewan Bankuet ini dapat memuatkan sehingga 2000 orang tetamu dalam satu-satu masa sama ada majlis rasmi atau tidak rasmi.

Antara majlis yang biasa dijalankan di dewan ini ialah majlis perkahwinan, peperiksaan, seminar dan makan malam. Setiap majlis didatangkan dengan pakej tersendiri yang disediakan oleh pihak UPM Consultancy & Services.

Kadar bayaran Dewan Bankuet untuk kakitangan UPM, agensi kerajaan, badan berkanun atau persatuan dan badan perniagaan kerajaan, swasta atau persendirian ialah RM900.00 sejam.

Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Dewan Bankuet, sila hubungi En. Abdul Rahim Mohd Yusoff melalui talian 03-89471161.