| Universiti Putra Malaysia

YOSH UPM anjur program gotong royong 3,000 pek bubur lambuk untuk warga PDRM

Oleh: Nurul Athira Mohd Affandi

KUALA LUMPUR, 14 April - Chapter Alumni YOSH UPM bersama MyFundAction menjalin kerjasama bagi penganjuran Program gotong- royong memasak dan mengagihkan 3,000 pek bubur lambuk untuk warga PDRM Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sekitar Kuala Lumpur di Masjid Bukit Aman di sini.

Program Edaran Bubur Lambuk Sang Saka Biru menerusi projek ‘Special Iftar for Ummah ‘bertujuan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara NGO, penjawat awam dan masyarakat.

Seramai 60 sukarelawan Chapter Alumni YOSH UPM yang terdiri daripada pelajar dan alumni UPM membantu proses memasak dan pembungkusan bubur lambuk ke dalam pek Special Iftar For Ummah (SIFU).

Pengarah, Projek Edaran Bubur Lambuk Sang Saka Biru, Mohd Nazreen Azmi berkata 3,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada enam ibu pejabat daerah (IPD) polis di Kuala Lumpur termasuklah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur.

“Enam IPD itu antaranya IPD Sentul, Dang Wangi, Brickfields, Putrajaya, Cheras, Wangsa Maju selain Bukit Aman,” katanya.

Menurut Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, CP Dato’ Sri Azri Ahmad berkata beliau amat berbangga kerana projek itu boleh membangunkan sahsiah dan peradaban anak muda masa kini.

“Saya percaya usaha sebegini mampu merapatkan hubungan antara PDRM, masyarakat dan badan bukan kerajaan dan kami amat memerlukan kerjasama masyarakat bagi menyokong usaha mencapai misi dan visi dalam menjamin keselamatan masyarakat dan negara.

“Saya mewakili Ketua Polis Negara dan seluruh warga PDRM sangat berterima kasih dan bersyukur atas usaha kebajikan yang dijalankan oleh MyFundAction bersama belia YOSH UPM,” katanya.

Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan, UPM, Azzam Luqman Rosdi, berkata program itu diadakan bertujuan mengimarahkan lagi Ramadan serta sebagai salah satu usaha mengukuhkan semangat kerjasama pelajar bersama pegawai barisan hadapan dengan komuniti setempat.

"Sudah dua tahun kita tidak dapat menjalankan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk seperti disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19 dan program hari ini banyak mengajarkan saya serta pelajar UPM erti syukur dan pentingnya kerjasama,” katanya. – UPM

SXDdIAf~