| Universiti Putra Malaysia

YEEP UPM ke Medan pupuk semangat kongsi ilmu

Oleh Zaharah Anum

 

 

MEDAN (Indonesia) – Seramai 20 anggota Majlis Tertinggi Mahasiswa (MTM) Kolej 16, Universiti Putra Malaysia (UPM) sesi 2017/2018 mengunjungi Universiti Sumatera Utara (USU)  di sini, baru -baru ini di bawah Program Youth Educational Exchange (YEEP) bertujuan memupuk semangat berkongsi ilmu berkaitan sosio budaya Malaysia-Indonesia.

 

Program selama 17 hari itu yang dianjurkan Kolej 16, UPM sesi 2017/2018.

Pengarah program, Siti Nurfarhana Norhaiza berkata mereka berinteraksi dengan rakan-rakan USU serta mempelajari secara bersemuka ciri-ciri budaya masyarakat Indonesia khususnya penduduk Medan.

“Walaupun Malaysia dan Indonesia merupakan jiran dan kita serumpun, namun masih banyak ciri-ciri budaya yang boleh kita kongsi dan fahami bersama.

“Peluang bersama-sama mahasiswa USU dan penduduk Medan ini amat bermakna dan kami berharap ruang memperoleh ilmu di peringkat antarabangsa akan terus terbuka luas untuk kami pada masa akan datang,” katanya.

 

Peserta program, pelajar Bacelor Komunikasi, Norliatika Elias berkata, mereka juga melawat dan mengadakan aktiviti bersama-sama pelajar Sekolah Negeri 35 Medan serta mengunjungi Rumah Yatim Setia Budi.

“Kami anggota MTM bersyukur kerana dapat meluangkan masa bersama-sama anak-anak yatim di Rumah Yatim Setia Budi Medan,” katanya.

Rakannya, pelajar Bacelor Bahasa dan Linguistik Melayu Syed Ahmad Faisal Sayed Muhammad pula berkata YEEP berjaya meningkatkan kualiti kepimpinan setiap peserta kerana segala perancangan aktiviti diurus sendiri oleh mahasiswa.

Antara aktiviti diadakan ialah ‘ice-breaking’ bersama PEMA iaitu perwakilan pelajar universiti tersebut serta Forum Penggunaan Bahasa Melayu Zaman Kini.

 

Guru Besar Sekolah Negeri Medan 35, Juniti Siregar berkata kunjungan peserta YEEP merupakan kunjungan mahasiswa luar negara yang pertama ke sekolah itu,  dan pelajar sekolah gembira menerima lawatan mahasiswa luar negara serta teruja melakukan aktiviti lukisan mural dan permainan tradisional bersama-sama.

 

YEEP UPM turut melakukan kunjungan hormat kepada Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Indonesia, Armizal Fadzli. - UPM

SXDdVAb~