| Universiti Putra Malaysia

Wanita berbakat dekorasi rumah genggam ijazah

Oleh Putri Nabila Zulfakar

SERDANG, 19 Nov - Minat mendalam terhadap dekorasi rumah jelas bukan penghalang bagi Nur Diyana Zolkiffly, 25, untuk menamatkan pengajian dan menerima Bacelor Sains Pemakanan dan Kesihatan Komuniti pada Majlis Konvokesyen ke-43 Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Diyana yang baharu seminggu mendirikan rumah tangga, berkata beliau dan suami, Dr. Nizam Haris, aktif dalam kerja-kerja dekorasi bajet rendah walapun tanpa sebarang asas dan hanya belajar daripada laman web.
“Saya dan suami memang sebagai satu team…corak pemilihan saya yang buat, manakala kerja-kerja berat seperi bertukang dilakukan oleh suami.

“Walaupun bidang pengajian kami berdua ke arah sains kesihatan, saya lihat kami mempunyai potensi dalam bidang dekorasi, lebih-lebih lagi apabila hasil kerja kami dihargai orang sekeliling,” katanya.

Mereka dinobatkan sebagai antara pemenang ECO DIY King, malah beberapa hasil dekorasi yang dimuatnaik dalam sosial media turut mendapat sambutan dan menjadi viral.

Ketika ditanya berkenaan perancangan masa hadapan, beliau mahu memulakan kerjaya dalam bidang pengajiannya tetapi tidak menolak sekiranya terdapat rezeki dalam bidang dekorasi rumah memandangkan beberapa tawaran telah diterima seperti mendekorasi homestay

Mengulas mengenai minatnya yang jauh berbeza daripada bidang pengajian, Diyana berkata setiap perkara yang ingin dilakukan adalah tidak terbatas.
“Hanya kerana kita belajar tentang perkara itu, tak semestinya kita perlu fokus kepada perkara itu sahaja. Kreativiti seseorang itu adalah melebihi apa yang dipelajari. Kalau ada minat tidak salah pun membuka ruang untuk kejar impian,” katanya yang pernah melibatkan diri dalam bidang peragaan ketika peringkat pengajian diploma di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). - UPM

SXETBA~