| Universiti Putra Malaysia

UPM TERUS PERKUKUH KEDUDUKAN DALAM QS ASIA UNIVERSITY RANGKINGS 2021

SERDANG, 25 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) terus melakar kejayaan yang cemerlang dalam pencapaian QS Asia University Rankings 2021 apabila berjaya melonjakkan kedudukan daripada tangga 33 tahun lepas kepada tangga 28 universiti terbaik Asia pada tahun ini.

Ranking ini telah meletakkan UPM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia dan sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya membuat lonjakan secara berterusan bagi tempoh tujuh (7) tahun secara berturut-turut.

Merujuk kepada pencapaian dalam QS Asia University Rankings 2021 ini, indikator Faculty Staff with PhD dan Inbound Exchange Student dilihat sebagai kekuatan utama UPM dengan pemarkahan 100% serta indikator Outbound Exchange Student dengan markah 99.99% keseluruhannya.

Ini membuktikan tahap kualiti tinggi pegawai akademik UPM serta keberkesanan program mobiliti UPM yang telah memberikan impak positif dalam mewujudkan jalinan kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman merakamkan ucapan penghargaan kepada semua staf dan pelajar yang menyumbang kepada kejayaan UPM dalam meningkatkan prestasi institusi pada peringkat Asia dan berharap komitmen ini akan berterusan dalam usaha untuk menyerlahkan lagi profil UPM dalam kalangan institusi antarabangsa.

“Kenaikan lima tangga adalah sesuatu prestasi yang membanggakan untuk UPM kerana persaingan dan prestasi agak memberangsangkan dari institusi serantau selain terpaksa menghadapi cabaran baharu dunia iaitu pandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak menjejaskan operasi sektor pendidikan tinggi peringkat global” katanya. -UPM

 

 

 

SXEXQAY~