| Universiti Putra Malaysia

UPM, TERAJU jalin kerjasama skim penteranakan kelah dan ikan tempatan

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Noor Azreen Awang 

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) jalin kerjasama dalam Projek Kelah and Native Fishes Cultivation Scheme (KeNFiS).

Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Tuan Haji Md. Silmi Abd Rahman kepada Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Haji Omar dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Tan Sri Dato’ Mohd Yazid.

Melalui kerjasama itu, UPM menerima geran bernilai RM2.155 juta bagi menjalankan kerjasama dalam program penternakan ikan air tawar terutama sekali ikan kelah bagi membantu menaik taraf golongan B40 selama lima tahun.

Selain itu, UPM terlibat dalam pemindahan teknologi dalam bidang akuakultur dari penghasilan benih, pengurusan air dan penyakit, pemakanan sehinggalah ke pemasaran serta akan diterajui oleh Dr. Muhammad Fadhil Syukri dan Prof Madya Dr. Murni Marlina Abd Karim dari Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian, UPM.

Syarikat spin-off UPM dan swasta akan membantu dalam menyediakan input asas seperti penyediaan benih, pelet ikan Kelah (TropiCarp), perubatan dan konsultasi. Kelah dijangka mencapai saiz yang boleh dipasarkan dalam tempoh 30 bulan pemeliharaan, iaitu 1kg/seekor.

Dengan menggunakan konsep ladang kontrak, syarikat yang terpilih akan membeli balik semua ikan ternakan pada harga yang kompetitif secara terus daripada penternak. Sementara itu, UPM juga akan menyediakan telur dan benih ikan asli seperti Kerai, Lampam atau Patin kepada peserta untuk diternak dan dijual di pasaran tempatan apabila mencapai saiz yang sesuai. Ini akan memberi pendapatan tambahan kepada peserta semasa proses penternakan kelah.

Antara ikan sungai, kelah merupakan antara ikan termahal di Malaysia mencecah sehingga RM 600/kg dan boleh ditemui di sungai-sungai Malaysia khususnya di sungai Pahang (Tor tambroides) dan Sarawak (Tor douronensis).

Oleh kerana harga yang tinggi, ia telah ditangkap secara meluas dan menyebabkan ancaman kepupusan kepada populasi asli dalam masa terdekat sekiranya tiada langkah pencegahan diambil.

Namun begitu, terdapat beberapa penternak yang telah berjaya menternak spesies itu dalam skala kormesial dan mampu menghasilkan anak benih kelah yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi sama ada sebagai makanan atau ikan hiasan.

Selain itu, Ikan asli yang bernilai seperti Kerai (Puntius daruphani), Lampam (Puntius gonionotus) dan Patin Buah (Pangasius nasutus) juga boleh dikultur dan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

Projek kerjasama antara UPM - TERAJU itu bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam perniagaan ikan kelah bernilai tinggi yang akan menyumbang kepada pertumbuhan pasaran eksport serta mewujudkan jalinan yang kukuh antara universiti, penyelidik dan penternak akuakultur untuk manfaat negara. - UPM

WXETMA5~