| Universiti Putra Malaysia

UPM TAWAR HARGA MAKANAN PATUT RM3.50

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

SERDANG, 8 Julai – Menyedari kenaikan kos bahan makanan yang memberi kesan kepada harga makanan dan keluhan pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) tampil dengan inisiatif menetapkan harga set pilihan makanan serendah RM3.50 yang berkualiti kepada para pelajarnya.

Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Nuruliman Ibrahim berkata memahami cabaran kenaikan harga makanan pihaknya telah mengadakan perbincangan antara semua pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di UPM bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM bagi memberikan harga terbaik buat pelajarnya.

“Hasil perbincangan pemantauan kawalan harga tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk menetapkan harga yang lebih berpatutan dan lebih mampu kepada pelajar-pelajar UPM dengan menu ‘kasih pelajar keluarga Malaysia’ RM3.50.

“Set pilihan RM3.50 boleh didapati di gerai PFC 3 dan 4, PFC 7, PFC 8, Serumpun A1 dan A2, dan Serumpun A5 dan A6 bermula 8 Julai hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya BHEP dan Alumni UPM juga bukan sahaja sentiasa memantau harga di setiap kafe pelajar tetapi turut memantau kualiti makanan yang disajikan kepada pelajar dengan menggunakan jawatankuasa pelajar yang memantau secara rahsia dan berkala.

Nuruliman berkata perkara ini menunjukkan UPM menyambut baik hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mengatasi kos kenaikan sara hidup pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terutama dari segi peningkatan harga makanan di dalam kampus.

“UPM telah membangunkan pelbagai pelan tindakan dan bantuan yang kondusif kepada pelajar bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan pelajar terpelihara, selari dengan strategi ketujuh iaitu Menyemarak Semangat dalam amanat Menteri Pengajian Tinggi 2022.

“Kita juga melaksanakan ‘Putra Voucher’ untuk pelajar kategori B40 dalam kalangan asnaf fakir dan miskin mendapatkan bantuan makanan melalui Tabung Prihatin Pelajar. BHEP juga akan memperkasakan inisiatif KPT dalam ‘Food Bank Siswa’ dengan kerjasama WAZAN UPM dan pelbagai penaja dalam menyediakan makanan ‘Putra Food Bank’ kepada pelajar yang kurang berkemampuan di setiap kolej kediaman dan memerlukan bantuan makanan,” ujarnya.

Terdahulu, KPT mengumumkan supaya pihak institut pengajian tinggi (IPT) menyediakan jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

KPT turut memutuskan untuk meneruskan kesinambungan inisiatif pemberian baucar makanan percuma kepada pelajar B40 di melalui Food@Campus Keluarga Malaysia.

Bagi tujuan itu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad berkata Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia (YKS) bersetuju menyumbangkan dana sebanyak RM1 juta bagi inisiatif Food@Campus Keluarga Malaysia 2.0. – UPM.

SXDdIAf~