UPM Selaras Vaksinasi COVID-19 Di PPV Untuk Pelajar | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM selaras vaksinasi COVID-19 di PPV untuk pelajar

UPM selaras vaksinasi COVID-19 di PPV untuk pelajar

SERDANG - Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Kesihatan Universiti (PKU), dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM telah menyelaraskan keperluan vaksinasi 69 pelajar UPM bermula 20 Mei hingga 6 Jun 2021.

Pelajar UPM akan menerima suntikan vaksin di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dewan Utama Universiti Malaya (UM), Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam dan World Trade Center Kuala Lumpur (PWTC).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM,  Prof. Dr Arifin Abdu, berkata pergerakan pelajar ke pusat pemberian vaksin diselaras menggunakan kenderaan universiti sepenuhnya.

“Pelajar tidak dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri mahupun pengangkutan awam bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin semasa proses pengambilan vaksin tersebut,” katanya.

Pelajar Tahun 3, Bacelor Pendidikan Sains Pertanian, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Nur Shakinah Abdul Wahab berkata, perkhidmatan bas yang disediakan hadir pada waktu yang dijanjikan.

“Saya berasa selamat kerana pemandu bas memahami situasi semasa COVID-19  dengan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat ketika proses pergerakan dan pengambilan pelajar  ke PPV yang ditetapkan oleh pihak universiti,” katanya.

Pelajar Tahun 3, Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian, Fakulti Sains, UPM, Nur Hannah Muhamad Faizal berharap pelajar lain turut mendaftar dan membuat suntikan mengikut janji temu yang ditetapkan oleh PPV.

Sementara itu, tinjauan pemantauan mendapati pengurusan kebajikan pelajar berada di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disantuni dengan sempurna termasuk mengawal pergerakan pelajar keluar masuk kampus, memantau kepatuhan kafeteria terhadap SOP dan mensanitasi bilik kediaman pelajar.

Pelajar Tahun 4, Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Ahmad Ammar Asyraaf  Ahmad Hashim berkata tindakan dalam menyantuni kebajikan pelajar amat memuaskan.

Beliau berharap universiti membuka lebih banyak kedai makan dan kafé di kampus untuk menambah pilihan pelajar memandangkan pergerakan pelajar terkawal sepanjang tempoh PKP. - UPM

Tarikh Input: 08/06/2021 | Kemaskini: 08/06/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJbDAZ:03:14