| Universiti Putra Malaysia

UPM sasar kedudukan lima pasukan terbaik kejohanan SUKUM ke-44

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Muhammad Izrul Abdul Jabar  

SERDANG, 14 September – Kontinjen kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) Universiti Putra Malaysia (UPM) meletakkan sasaran lima pasukan terbaik dalam kalangan 21 pasukan universiti yang bertanding pada kejohanan tersebut bermula 17 sehingga 24 September ini.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata UPM selaku tuan rumah SUKUM ke-44 akan diwakili oleh 335 orang atlet staf dan 53 pegawai.

"Semoga kita dapat membaiki kedudukan yang dikecapi pada edisi ke-43 yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada tahun 2018 dengan pencapaian empat emas, tujuh perak dan 16 gangsa iaitu di kedudukan 12 secara keseluruhan.

"Pada tahun ini, kontinjen UPM menyasarkan untuk mengutip 25 pingat emas. Harapan saya kepada atlet staf UPM, agar jadikan sasaran tersebut sebagai motivasi untuk kita menyumbang sesuatu kepada UPM, sebuah menara ilmu yang kita cintai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan bendera UPM kepada Pendaftar UPM, Muhazam Mansor selaku ketua kontinjen SUKUM UPM.

Menariknya, seramai tujuh orang staf dari UPM Kampus Bintulu turut menyertai kejohanan ini dan baru sahaja tiba di sini hari ini. – UPM

WXEZWA0~