| Universiti Putra Malaysia

UPM RANKING PERTAMA DALAM BIDANG PERTANIAN, PERHUTANAN DAN VETERINAR DI MALAYSIA

Oleh: Nor Hazlina Zamaruddin


SERDANG, 6 April – Kedudukan Universiti Putra Malaysia (UPM) terus melonjak naik apabila berada pada tempat pertama di Malaysia bagi dua subjek dalam QS World University Rankings by Subject 2022 berbanding tahun lepas hanya satu subjek yang disenaraikan.

Subjek Sains Veterinar (Veterinary Science) UPM disenaraikan dalam ranking ke-60 terbaik dunia seterusnya menjadikan subjek ini ranking pertama di Malaysia buat pertama kalinya.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Roslan merakamkan ucapan tahniah kepada semua staf dan pelajar yang telah menyokong kejayaan semua subjek-subjek yang terlibat.

“Pencapaian kesemua subjek tersebut menunjukkan UPM berjaya membangunkan reputasi antarabangsa untuk standard akademik dan kualiti graduan,” katanya.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Roslan berkata, subjek Pertanian dan Perhutanan UPM berada pada ranking ke-80 terbaik dunia seterusnya mengekalkan kedudukan ranking pertama di Malaysia bagi tempoh 10 tahun berturut-turut.

“UPM berjaya mengekalkan rekod pencapaiannya walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 apabila warga UPM berjaya mengadaptasikan perubahan dengan amalan norma baharu dalam sistem pembelajaran dan pengajaran, penyelidikan dan inovasi serta jaringan industri dan masyarakat,” katanya.

Selain itu, kewujudan Hospital Perubatan Veterinar serta Muzium Anatomi Haiwan dilihat antara penyumbang utama kepada pencapaian ini dan Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar serta Fakulti Perubatan Veterinar adalah fakulti pengasas semenjak UPM memulakan sesi akademiknya pada 23 Julai 1973.

Pencapaian keseluruhan UPM dalam QS World University Rankings by Subject 2022 merangkumi 24 subjek yang berjaya tersenarai dalam ranking ke-450 terbaik dunia dan 14 daripadanya berada dalam kelompok ranking ke-200 terbaik dunia.

Ini menunjukkan terdapat pertambahan dua subjek baharu yang disenarai dalam ranking ini berbanding tahun lepas hanya 22 subjek sahaja yang disenaraikan.

Merujuk kepada kaedah penilaian QS World University Rankings by Subject 2022 ini, terdapat empat indikator iaitu Academic Peer Review, Employer Peer Review, Citations dan H-Index. Walau bagaimanapun pemberat bagi setiap subjek yang dinilai adalah berbeza-beza.

Maklumat lanjut keputusan QS World University Ranking 2022 boleh didapati melalui laman web: https://www.topuniversities.com/subject-rankings/2022 .

WXEZHA3~