| Universiti Putra Malaysia

UPM raih tempat kedua ‘Best of the Best, National Micro Enterprise Pitching Competition’

Oleh: Junita Jamsari

AYER KEROH, 19 Dis – Syarikat Kerjalah yang dianggotai tiga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi tempat kedua kategori Best Of The Best dan tempat kedua kategori Teknologi & Inovasi, pada National Micro Enterprise Pitching Competition.

UPM turut meraih tempat kedua kategori Makanan & Minuman menerusi pasukan B-Flakes yang dianggotai dua ahli kumpulan.

Pasukan Kerjalah menerima wang tunai RM3,000 serta plak dan sijil selepas memenangi tempat kedua kategori ‘Best of the Best’ dan RM2,000 serta plak dan sijil selepas menduduki tempat kedua kategori Teknologi & Inovasi.

Pasukan B-Flakes pula menerima RM2,000 serta plak dan sijil.

Hadiah disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, di sini.

Ketua pasukan Kerjalah, Hoh Jia Da berkata Kerjalah adalah aplikasi membantu untuk mengecilkan jurang antara majikan dan pekerja di Malaysia.

Penyelesaian yang dicadangkan mengambilkira dan menganalisis pernyataan masalah yang diberikan, termasuklah Bot Interaktif AI, Analisis Resume, Penilaian Keserasian dan Game-changer.

Pasukan Kerjalah turut sertai oleh dua ahli kumpulan Heon Hi Teng dan Ali Imran Mohd Salleh.

Pasukan B-Flakes pula dianggotai Adlina Jamaludin dan Hong Cheng Yue.

Program berlangsung secara dalam talian dari 29 Mei sehingga 13 Jun 2021 melibatkan empat kategori - Industri Seni & Kreatif, Makanan & Minuman, Teknologi & Inovasi dan Perkhidmatan.

Pertandingan itu mengkehendaki pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi merangka model perniagaan baharu atau memperkemaskan model perniagaan sedia ada dengan penambahan elemen teknologi dan inovasi menggunakan kaedah Business Model Canvas (BMC).

Ia dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Teknologi Malaysia. - UPM

WXFWVAM~