| Universiti Putra Malaysia

UPM RAIH DUA EMAS, SATU PERAK SUKAN KARATE KUMITE SUKIPT 2022

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Izrul Abdul Jabar

 

Tanjung Malim, 13 Ogos - Dua pingat emas berjaya diraih oleh skuad karate kumite Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 dalam acara masing-masing di Universiti Pendidikan Sultan Idiris (UPSI), hari ini.

Pelajar semester dua, Bacelor Komunikasi, Siti Nur Azwani Nor Azli, meraih kemenangan dengan mudah setelah menumpaskan lawannya 8-0 daripada Politeknik, M. Vaisani bagi kategori perempuan bawah 61 kilogrm (kg).

"Saya berasa sangat gembira dan bangga atas pencapaian ini dan saya juga berpuas hati dengan apa yang saya lakukan ketika perlawanan tadi," katanya.

Sementara itu, pelajar semester empat, Bacelor Komunikasi, A. Denishroy yang menuai emas bagi kategori lelaki 84kg ke atas meluahkan rasa gembiranya setelah mengalahkan lawannya daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau juga merupakan pemenang pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Ubon Ratchathani, Thailand.

"Pada mulanya saya sedikit gementar kerana pertandingan ini peringkat kebangsaan dan saya yakin lawan saya tahu bagaimana corak permainan saya.

"Namun setelah mendapat sokongan dan mendengar jeritan daripada penyokong UPM saya kembali bersemangat dan bermotivasi untuk mengalahkan pihak lawan sebanyak 8-0," katanya.

Dalam pada itu, pelajar Bacelor Pentadbiran Perniagaan, S. Daneshkumar, juga meluahkan rasa berpuas hatinya setelah meraih pingat perak bagi kategori lelaki bawah 75kg.

"Walaupun saya tidak mendapat emas namun saya amat berpuas hati kerana lawan saya merupakan atlet Malaysia dan saya hanya kalah tipis 2-1 sahaja," katanya.

Pelajar semester empat itu berkata beliau berusaha dengan gigih agar lawannya daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu tidak mendapat mata yang banyak. -UPM

WXEZTA~