| Universiti Putra Malaysia

UPM, PAUPM JALIN KERJASAMA BIDANG PENYEDIAAN PERKHIDMATAN MAKANAN

Oleh Siti Nur Amanina Nazri

Foto Noor Azreen Awang

SERDANG, 13 Sept – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk memperkasakan kerjasama dalam bidang penyediaan dan perkhidmatan makanan.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata fasiliti perkhidmatan makanan yang dibangunkan melalui MoA ini akan dapat membantu aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penjanaan pendapatan, meningkatkan aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam bidang perniagaan agribusiness, teknologi makanan dan pengurusan sisa makanan.

“Kerjasama ini boleh membantu UPM menyediakan graduan yang memenuhi pasaran yang diperlukan oleh industri melalui program latihan industri dan amali yang akan dilaksanakan,” katanya.

Katanya, kerjasama itu akan disertai pelajar-pelajar asnaf dan kurang berkemampuan melalui Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) dan Bursar UPM secara langsung untuk membantu pelajar terbabit meringkankan beban mereka.

Presiden Persatuan Alumni UPM (PAUPM), Dato’ Raihan Sherif pula berkata pemilihan untuk berkolaborasi dengan Fakulti Pertanian UPM adalah bertepatan yang diperakui kredibiliti dan kepakarannya dalam bidang pertanian dan makanan.

“Astana Putra akan menyediakan tempat latihan industri untuk pelajar UPM terutama pelajar bidang perkhidmatan makanan serta pelajar asnaf menimba ilmu berkaitan perniagaan dan perkhidmatan makanan,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon.

Kerjasama itu bermula dengan hasrat Dekan Fakulti Pertanian, Prof. Dr. Abdul Shukor Juraimi yang ingin membantu graduan lepasan Inkubasi Usahawantani menimba ilmu dan pengalaman dalam perkhidmatan penyediaan makanan. - UPM

 

WXEUXAl~