| Universiti Putra Malaysia

UPM, Nestle Malaysia jalin kerjasama Program PUTRACNAP

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto oleh: Md Nasir Hussin

SERDANG, 11 April - Universiti Putra Malaysia (UPM) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Nestle Malaysia untuk Program Duta PUTRA Pemakanan Komuniti (PUTRACNAP) hari ini.

Program itu dijalankan bagi mengurangkan jurang pemakanan yang dihadapi oleh masyarakat dan melatih 100 orang ibu kepada pelajar sekolah rendah daripada kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk menjadi duta pemakanan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata PUTRACNAP dianjurkan selaras dengan Matlamat ke-3 United Nation Sustainable Development Goals (SDGs) dan National Plan of Action for Nutrition of Malaysia (NPANM) III.

“PUTRACNAP merupakan program berasaskan kajian yang pertama dengan menyasarkan keluarga vdan komuniti yang tinggal di PPR di sekitar bandar Kuala Lumpur," katanya.

Tambah beliau, program itu memfokuskan kepada pembangunan komuniti yang sihat dan mampan  terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah melalui pemerkasaan pemakanan dan penggunaan konsep “Dari Kebun ke Meja Makan”.

PUTRACNAP adalah program pemakanan komuniti yang akan berjalan selama setahun dengan matlamat untuk memperkasakan rakyat Malaysia bagi mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia, Dato’ Adnan Pawanteh berkata, makanan memainkan peranan yang penting dalam membentuk komuniti yang lebih bahagia dan sihat.

"Kami berhasrat untuk menangani masalah ini menerusi kerjasama dengan UPM melalui PUTRACNAP dengan berkongsi ilmu pemakanan dan mendorong ibu yang merupakan tunggak masyarakat menjadi duta pemakanan," katanya.

PUTRACNAP adalah sebuah program berasaskan masyarakat yang mempunyai tiga fasa. Fasa pertama disasarkan bermula pada Mei 2022 melibatkan pendaftaran peserta yang layak serta pelaksanaan Kempen Kesedaran Pemakanan dan Kesihatan. 

Bagi Fasa kedua, peserta akan mengikuti bengkel Duta Pemakanan Komuniti PUTRA dengan Melatih mereka dalam pemakanan dan Fasa 3 pula duta pemakanan akan memanfaatkan apa yang dipelajari untuk program Pemakanan dan Kesihatan Komuniti. - UPM

SXEUGA0~