| Universiti Putra Malaysia

UPM menangi tempat ketiga ping pong Piala Pengerusi FELDA

Oleh Mohd Fuad Kamarudin

 

BANGI, 19 April – Pasukan ping pong Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapat tempat ketiga Kejohanan Ping Pong Piala Pengerusi FELDA 2019 kategori Agensi/Badan Berkanun/GLC untuk memenangi medal dan hadiah wang tunai RM400.

UPM menghantar dua pasukan iaitu UPM A dan UPM B yang terdiri daripada staf UPM. 

Tempat ketiga itu dimenangi oleh pasukan UPM A yang dianggotai Mohd Fuad Kamarudin, Prof Dr. Mohd Adzir Mahdi, Zamili Mohamed, Joha Muhsidi Abd Wahab dan Sahari Kasim.

UPM B yang diwakili Mohamad Azwar Bakar, Dr. Eris Ellianddy Supeni, Dr. Mohd Faid Abd Rahman, Mohd Noor Azizul Akbarruddin, dan Abdul Haris Wahab pula berjaya mara ke pusingan kedua.

 

Hadiah disampaikan oleh Pengerusi FELDA, Tan Sri Megat Zaharudin Megat Mohd Nor.

Pada peringkat kumpulan, UPM A menewaskan FELDA Wilayah Kuantan dan PKNS C masing-masing 2-0 untuk menjuarai Kumpulan 7.

Pada pusingan kedua pula, UPM A menewaskan TDM D 2-0, manakala pada suku akhir menundukkan MPOB 2-1.

Bagaimanapun UPM A terkandas di separuh akhir apabila tewas 1-2 kepada TDM A.

UPM B pula pada peringkat kumpulan, menewaskan TDM C 2-1 tetapi kalah 1-2 kepada LHDN B untuk muncul naib johan Kumpulan 2.

Pada pusingan kedua, UPM B tewas 1-2 kepada LHDN A.

Penyertaan pasukan ping pong UPM ke kejohanan itu adalah juga sebagai persediaan menghadapi kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) dan Sukan Universiti Malaysia (SUKUM) akan datang.

Kejohanan yang julung kali dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Nasional FELDA dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi FELDA Kuala Lumpur dan Institut Semarak FELDA itu menarik penyertaan 32 pasukan dari agensi-agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), Tentera Darat Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dn Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Kejohanan itu menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai RM9,730 melibatkan beberapa kategori. - UPM

 

SXEYLAp~