| Universiti Putra Malaysia

UPM menang Anugerah Kursi Tan Sri Dr. Ali Hamsa

Oleh ShazaZaq’ Wan Shafain

Foto Noor Azreen Awang

SERDANG, 25 Mei – Universiti Pura Malaysia (UPM) buat julung kalinya memenangi Anugerah Kursi Tan Sri Dr. Ali Hamsa sekali gus menerima sijil dan geran berjumlah  RM300,000 untuk tempoh tiga tahun.

Bagi kategori Anugerah Khas Kelestarian Kampus Hijau, enam universiti awam masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 serta sijil. Antaranya Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bagi pengiktirafan penyertaan aktif, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Perlis (UniMap), Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membawa pulang wang tunai RM2,000 dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa ketika Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau di UPM.

 

Ketika berucap merasmikan konvokesyen itu, beliau berkata konvensyen berkenaan adalah platform untuk pelajar universiti menyampaikan maklumat serta menggalas tanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

“Amalan membudayakan kebersihan untuk mengekalkan kelestarian alam sekitar adalah antara aspek yang penting dalam menyediakan generasi muda sebagai pelapis kepimpinan negara ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera,” katanya.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris pula berkata pembudayaan kelestarian hijau dititikberatkan oleh UPM serta menjadi tanggungjawab warga universiti untuk menjadikannya sebagai satu agenda utama universiti.

“UPM turut terlibat dalam pelbagai penyelidikan yang menumpukan aspek kelestarian hijau iaitu program kerjasama warga UPM dengan industri, kementerian, agensi-agensi luar dan komuniti untuk terus menyokong usaha negara melestarikan alam sekitar,” katanya.

Konvensyen Kelestarian Kampus Hijau itu dianjurkan bersama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). - UPM

WXEaVA4~