| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar READ@UNI galak budaya membaca warga kampus

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

SERDANG, 12 April – Perpustakaan Sultan Abdul Samad Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan program Read@Uni untuk meningkatkan peratusan tabiat budaya membaca warga universiti menjelang tahun 2020.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato' Dr. Aini Ideris berkata mahasiswa alaf baru seharusnya lebih aktif dan progresif dalam aspek pembudayaan membaca.

Katanya, sebagai kelompok yang hidup dalam kitaran maklumat dan intelektual, mahasiswa perlu mewujudkan satu budaya ilmu yang terpimpin dan menjadi ikutan generasi seterusnya.

“UPM menyambut baik aspirasi program dan aktiviti untuk meningkatkan tabiat membaca dengan tujuan rekreasi dan literasi ilmu bagi melahirkan masyarakat yang berfikiran kritis, memupuk minat membaca serta menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

“Usaha ini ke arah menjadikan masyarakat berbudaya membaca dan cintakan ilmu, mencambahkan tradisi keilmuan dan wacana intelektual masyarakat. Program ini akan menyemarakkan tabiat pembacaan mahasiswa, pensyarah, warga universiti dan masyarakat setempat,” katanya pada majlis pelancaran Read@Uni UPM 2019 di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan UPM, di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Datuk Nafisah Ahmad dan Ketua Pustakawan Perpustakaan Sultan Abdul Samad,Muzaffar Shah Kassim.

Program itu lanjutan daripada program terdahulu hasil inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia yang dirasmikan oleh Menterinya, Dr. Maszlee Malik pada 29 November 2018. 

“Kita perlu terlibat secara aktif dalam setiap program dan aktiviti yang telah dirangka agar hasrat dan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030 dapat direalisasikan,” kata Prof. Aini.

Beliau berkata kempen Read@Uni UPM 2019-2020 itu telah dilancarkan pada 1 Oktober 2018 dengan berpaksikan Garis Panduan Pelan Tindakan Bersepadu Program Penggiatan Budaya Membaca Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia.

Katanya sembilan program khas telah dirangka melibatkan semua jabatan dalam UPM dan warga universiti iaitu:

  • Pemerkasaan prasarana, perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan
  • Program debat universiti
  • Seminar/bengkel penulisan dan penerbitan
  • Wacana dan waqaf ilmu
  • Program galakan membaca Read@Uni
  • Program persepakatan pintar ke arah membudayakan aktiviti membaca
  • Perekayasaan program literasi maklumat
  • Library 4 U
  • Hari Bersama Pelanggan

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Read@Uni UPM 2019, Muzaffar Shah Kassim berkata UPM memperkenalkan beberapa anugerah bagi menyemarakkan lagi minat membaca di samping mempertingkatkan lagi penggunaan pelbagai sumber maklumat oleh Perpustakaan UPM kepada individu terpilih berdasarkan kriteria-kriteria seperti:

  1. Peminjam Buku Tertinggi bagi ketegori pelajar dan staf
  2. Ikon membaca dengan mengumumkan lima ikon membaca yang daripada Pensyarah, Pengurusan dan Profesional, Pelaksana dan Pelajar. Ikon-ikon ini akan mempromosikan program dan aktiviti sepanjang kempen.

“Portal Read@Uni UPM yang dilancarkan pada hari ini memaparkan segala maklumat Read@Uni UPM serta program dan aktiviti selama dua tahun itu seperti Pertandingan Poster Infografik Read@Uni dan Springer Nature Online Quiz.

“Serahan buku kepada wakil kolej, fakulti, perkhidmatan dan institut ialah sebagai simbolik kepada Pertandingan Sudut Bacaan Read@Uni UPM. Setiap jabatan dalam UPM perlu mewujudkan satu sudut bacaan yang akan diadili oleh juri,” kata Muzaffar.

Beliau berkata pada majlis itu juga mereka akan memperkenalkan kumpulan sukarelawan perpustakaan pelajar UPM yang akan terlibat dalam pelbagai aktiviti karnival ilmu serta program khidmat masyarakat. - UPM

SXEYUAW~