| Universiti Putra Malaysia

UPM lancar buku ’Pembangunan Kontemporari Orang Asli’

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh

 

SERDANG, 8 Nov - Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan buku ’Pembangunan Kontemporari Orang Asli’ mengandungi isu-isu pembangunan kontemporari mereka yang ditulis beberapa pengkaji dari universiti awam.

 

Buku suntingan bersama Prof. Madya Dr. Sarjit S. Gill dan Dr. Mohd Roslan Rosnon, kedua-duanya dari FEM memuatkan 14 bab mengandungi artikel oleh penulis-penulis terlibat dalam kajian-kajian Orang Asli.

 

“Ia akan dijadikan sumber rujukan kepada pelajar universiti dan pelbagai pihak dalam usaha mengupas isu berkaitan dengan masyarakat Orang Asli,” ujar Dr Sarjit.

 

Katanya buku itu juga membolehkan masyarakat arus perdana lebih memahami isu sosial, warisan dan ekonomi komuniti Orang Asli.

 

Buku kerjasama Fakulti Ekologi Manusia (FEM) dan Penerbit UPM itu dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Sosial, Senator P. Waytha Moorthy di FEM di sini.

 

Waytha berkata buku itu mampu memberi anjakan paradigma kepada pemimpin Orang Asli terutama belia untuk meningkatkan pembangunan, kesejahteraan sosial dan kemajuan komuniti itu.

 

“UPM mengalu-alukan kerjasama dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan menjayakan wacana ilmu. Kerjasama pintar ini bermanfaat untuk membina semula ‘Bangsa Malaysia’ yang lebih bersatu-padu,” kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dalam ucapannya.

 

Sebelum pelancaran buku, satu forum berjudul ‘Mengurus Pembangunan Masyarakat Orang Asli’ yang dikendalikan oleh Dr. Roslan Rosnon menjadi platform kepada pelbagaimnisu dan saranan pembangunan Orang Asli. - UPM

WXEZXAK~