| Universiti Putra Malaysia

UPM KAJI CORAK PENCEMARAN SUNGAI KUANG, SELANGOR

Oleh: Noor Eszereen Juferi & Dahlan Ismail Abu Bakar

SERDANG, 31 Mei -  Fakuti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan kajian corak pencemaran hidraulik dan hidrologi di Sungai Kuang, Selangor untuk membangunkan pangkalan data serakan bahan cemar di Sungai Kuang, Selangor.

Ketua projek, Prof. Madya Dr. Nor Rohaizah Jamil berkata pembangunan pangkalan data itu untuk melihat ciri-ciri serakan bahan cemar di sungai tersebut dengan menggunakan bahan pewarna mudah terurai (Rhodaimine Water Tracer) yang dipantau menggunakan dron dan simulasi pemodenan.

“Bahan pewarna mudah terurai digunakan sebab ciri kebolehkesanannya yang tinggi yang  memberikan pengukuran dan pengesanan tepat pergerakan dan serakannya dalam sistem air  dapat dilaksanakan seperti sungai, tasik  dan air bawah tanah.”

Kajian ini akan dijalankan beberapa musim cuaca iaitu mulai Jun 2023 iaitu pada musim biasa, bulan November 2023 bagi musim tengkujuh dan bulan Mac 2024, musim kering, memberi manfaat dalam mengenalpasti lokasi penumpukan bahan cemar dalam merancang pelan tindakan sekiranya berlaku pencemaran di sungai ini.

“Data ini akan digunakan semasa situasi kecemasan yang boleh memberi impak kepada pengguna air seperti pencemaran mengejut di Sungai Kuang serta mempercepatkan kerja-kerja pemulihan,” katanya.

Tambah beliau, Rhodamine WT merupakan pewarna merah terang akan menarik perhatian dan mungkin menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat sekitar, namun jangka hayatnya di dalam air yang pendek dan sifatnya yang mesra alam dan tidak toksik, selamat digunakan dan  ianya tidak memberi kesan langsung atau tidak langsung kepada spesis akuatik dan tidak akan masuk ke dalam rantaian makanan.

“Penduduk di kawasan sekitar Sungai Kuang (dari Kg. Orang Asli Kuang ke Batu Arang) mungkin dapat melihat perubahan air sungai semasa pewarna Rhodamine WT (berwarna merah terang) melalui kawasan sungai berhampiran mereka sewaktu eksperimen dilaksanakan,” katanya.

Kajian itu diterajui oleh UPM dengan kolaborasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan TNB Research Sdn. Bhd. serta turut dibantu oleh penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - UPM

 

SXEUJA6~