| Universiti Putra Malaysia

UPM juarai Debat Diraja IPT 2018

KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan juara Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2018 kategori bahasa Melayu.

UPM menewaskan pasukan tuan rumah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada pertandingan akhir yang berlangsung di Pusat Permata Pintar Negara, UKM dekat sini.

Dengan kemenangan itu, pasukan UPM membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000 bersama trofi dan piala pusingan.

Pasukan UPM yang dibarisi empat pendebat wanita iaitu P. Pavithra Panirselvam 24, Nurul Rashidah Roseli, 23, Has Umierah Ibrahim, 22 dan Nur Izzati Suardi, 22 merupakan pasukan pencadang pada pertandingan akhir debat yang bertajuk ‘Dewan ini menyokong Liberasasi Media untuk Menjadikan Malaysia Lebih Demokratik’

Pavithra turut dipilih sebagai pendebat terbaik dan menerima anugerah Pendebat Terbaik Akhir.

“Saya gembira dan berpuas hati dengan kejayaan ini. Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sejak awal hingga ke akhir pertandingan ini,” kata Pavithra, pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua itu.

Beliau tidak menyangka terpilih sebagai pendebat terbaik, dan bersyukur kerana bersama-sama rakan pasukan dapat membantu UPM muncul juara pertandingan.

“Ia kejayaan yang amat bermakna bagi kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Fahmi Azar Mistar berkata kejayaan pasukan debat UPM ini merupakan satu kejayaan manis untuk UPM.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar sentiasa menyokong sebarang aktiviti atau program pengucapan awam yang melibatkan pelajar UPM.

UPM pernah menjuarai Pertandingan Debat Diraja Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada tahun 2005 and 2018.

WXDdOA7~