| Universiti Putra Malaysia

UPM jalin dua kerjasama bangunkan industri berasas sisa sawit

Oleh Thiviyah Manicam

Foto oleh Marina Ismail

                                             

 

BANGI, 21 Nov -  Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalin kerjasama dengan dua pihak industri bagi membangunkan industri berasaskan sisa gentian kelapa sawit dan menyediakan pangkalan data bagi tanaman dan produk Eucalyptus, serta untuk penghasilan nanoselulosa daripada sisa sawit.

Memorandum Persefahaman  (MoU) antara UPM dan The Malaysian Panel-Products Manufacturers’ Association (MPMA) membabitkan dua komponen penyelidikan iaitu pra-pengkomersilan penghasilan produk papan lapis Gred Setara Marine (Marine-Grade Equivalent (MGE) Plywood) daripada batang kelapa sawit (OPT) dan kayu getah, serta pembangunan pangkalan data bagi tanaman Eucalyptus di Malaysia.

Manakala MoU dan Non-disclosure Agreement (NDA) antara UPM dan Nextgreen Pulp and Paper Sdn Bhd (NGPP) pula ialah bagi penghasilan nanoselulosa daripada sisa sawit pada skala pra-pengkomersilan.

Majlis penyerahan MoU dan NDA itu disaksikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Kong pada persidangan Wood and Biofiber International Conference (WOBIC 2017) di sini.

MoU dengan MPMA akan menyaksikan MPMA menggunakan khidmat kepakaran di UPM dalam penghasilan papan lapis OPT yang berprestasi tinggi, merangkumi kajian terhadap penyimpanan balak OPT, rawatan venir, penghasilan dan pengujian papan lapis MGE, pembangunan produk prototaip serta analisis ekonomi bagi proses dan produk dibangunkan.

Bagi pembangunan pangkalan data tanaman Eucalyptus pula, UPM dan MPMA dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan membangunkan pangkalan data itu yang berkaitan penanaman, pembiakbakaan, pencirian kualiti, pengeringan, pemesinan dan pembangunan produk.

WXEYKAm~