| Universiti Putra Malaysia

UPM dan Way Research Academy jalin MoU perkhidmatan kesihatan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mozaid Idris

Serdang, 3 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Way Research Academy membuat pertukaran memorandum persefahaman (MoU) bagi mengadakan kerjasama dalam perkhidmatan penyelidikan terutamanya melibatkan terapi sel klinikal, imunoterapi dan teknologi makanan.

Pertukaran MoU tersebut dilakukan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari bersama Pengarah Way Research Academy, Dr. Cheng Qing Shan di Dewan Banquet, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

Prof. Dr. Nazamid berkata kerjasama ini bakal memberi impak yang positif dalam meningkatkan taraf UPM sebagai institusi yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Perjanjian persefahaman ini juga membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan serta pembelajaran bagi mempertingkatkan kemahiran, pengetahuan pelajar dan staf khususnya dalam bidang perubatan yang menyokong peranan HPUPM sebagai hospital pengajar.

“Syarikat Way Research merupakan antara syarikat yang diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa. Maka, saya percaya perkara ini membantu UPM mencapai matlamat membina jaringan dan kerjasama dengan organisasi luar,” katanya.

Way Research Academy Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat dalam bidang bioteknologi yang dianggotai oleh sekumpulan penyelidik berpangkalan di Suzhou, China sejak 2008 dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai aspek terapi sel bermula daripada pembukaan makmal sehingga sesi klinikal.

Turut hadir, Pengarah HPUPM, Prof. Dr. Hamidon Basri. – UPM

SXEYMA2~