| Universiti Putra Malaysia

UPM dan UTM bangunkan makmal penyelidikan RIG pertama H-OTEC di dunia

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Izrul Abdul Jabar

KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjalinkan kerjasama penyelidikan untuk menyokong pembangunan rig pertama TENAGA HABA LAUT HIBRID (H-OTEC) di dunia yang akan ditempatkan di Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) UPM.

Kerjasama antara UPM dan UTM ini bagi mempercepatkan matlamat ke arah Carbon Net-Zero, masyarakat rendah karbon dan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) di Asia Tenggara dan khususnya di Malaysia hasil sokongan dan pembiayaan oleh pihak Japanese International Collaboration Agency (JICA), Japan Science & Technology (JST) dan dana padanan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia (KPT).

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (TNCPI UPM),  Prof. Dr. Nazamid Saari bagi pihak UPM berkata, program lima tahun PROGRAM SCIENCE AND TECHNOLOGY RESEARCH PARTNERSHIP FOR SUSTAINABLE DEVELOPMENT (SATREPS)  TENAGA HABA LAUT (OTEC) merupakan program penyelidikan bersama antara kerajaan Jepun dan Malaysia yang merangkumi Penyelidikan dan Pembangunan sistem H-OTEC serta pelbagai penggunaan Air Dasar Laut (ADL) dalam ekosistem Malaysia yang dikenali sebagai "Model Malaysia".

"Matlamat utama program SATREPS OTEC ini adalah untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi sistem OTEC Hibrid atau H-OTEC, yang menggabungkan penjanaan tenaga elektrik dan teknologi penyahgaraman air laut untuk menjadi air minuman.

"Elemen teknologi sistem H-OTEC ini telah direka bentuk oleh rakan kolaborasi Jepun yang terdiri dari Saga University dengan kerjasama syarikat Xenesys,” katanya.

Hasil MoA ini akan melihat terwujudnya Makmal penyelidikan sistem H-OTEC yang dikenali sebagai UPM-UTM OTEC Centre pertama di dunia dan rig demonstrasi OTEC ketiga di dunia.

Kewujudan UPM-UTM OTEC Centre yang mempunyai kemudahan penyelidikan sistem OTEC bertaraf dunia akan menarik para penyelidik, pelajar dan institusi pembiayaan berkaliber tinggi dan bertujuan untuk melahirkan pelajar dan penyelidik yang terbaik dalam penjanaan tenaga hijau marin.

SXDdEAR~