| Universiti Putra Malaysia

UPM cipta juara keseluruhan sirkit ke-3, Kejohanan Olahraga IPT

 

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari

Foto: Facebook SUKAN IPT

SERDANG, 18 Oktober - Universiti Putra Malaysia (UPM) terus melakar nama mencipta kejayaan dalam dunia sukan setelah muncul juara keseluruhan Sirkit ke-3, Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kejayaan itu diraih apabila UPM memungut 25 pingat emas, 12 perak dan sembilan gangsa sepanjang dua hari Sirkit ke-3 dianjurkan bermula 15 dan Oktober di Arena Tun Tuanku Haji Bujang, UNIMAS.

Ketua Penyelaras Teknikal Kejohanan Olahraga IPT 2022, Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata, Sirkit Kejohanan Olahraga IPT 2022 merupakan program terbaik untuk menilai pencapaian atlet secara berterusan.

“Kejohanan ini penting bagi agenda sukan olahraga negara kerana menjadi medium kepada atlet kebangsaan yang beraksi dalam kejohanan ini untuk memperbaiki rekod peribadi.

“Sebanyak lima sirkit yang diadakan iaitu yang pertama di Johor bagi zon selatan, Perlis untuk zon utara dan kejohanan di Unimas ini adalah untuk zon Borneo. Selepas ini sirkit keempat untuk zon Pantai Timur dan kemuncaknya sirkit grand final di Stadium Bukit Jalil,” katanya.

Sebanyak 16 IPT menyertai sirkit ketiga ini dan bersaing dalam lapan acara yang dipertandingkan. – UPM

SXDdCAP~