UPM Beri Penganugerahan Sempena MGP, Sambutan Hari Pekerja | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM beri penganugerahan sempena MGP, Sambutan Hari Pekerja

UPM beri penganugerahan sempena MGP, Sambutan Hari Pekerja

Oleh:  Noor Eszereen Juferi

Foto:  Marina Ismail

 

SERDANG, 3 Mei – Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi tujuh   penganugerahan kepada staf yang cemerlang sempena Majlis Gemilang Putra dan Sambutan Hari Pekerja 2019.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris  berkata majlis itu penting sebagai ruang khusus untuk mengiktiraf serta memberi penghargaan terhadap iltizam warga UPM yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2018 dan yang menabur jasa dan bakti terhadap universiti.

“Kesungguhan dan keikhlasan warga UPM dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan diharap dapat menjadi pendorong kepada staf lain untuk terus memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik dari semua aspek,” katanya.

Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar berkata kedua-dua majlis akan menjadi faktor pendorong kepada warga UPM mengekalkan hasil kerja yang cemerlang serta berusaha bagi menghasilkan impak positif dalam penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

“Sambutan Hari Pekerja 2019 yang bertemakan ‘Pekerja Amanah Aspirasi Negara’ menyasarkan kompetensi penting yang wajib ada pada setiap warga UPM dan staf. Mereka perlu menyedari bahawa tugas adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Majlis Gemilang Putra adalah majlis pengiktirafan universiti kepada staf yang cemerlang pada tahun 2018. Sebanyak lima kategori dianugerahkan termasuk Anugerah Jasamu Dikenang yang dianugerahkan kepada  empat pegawai yang meninggal dunia.

Selain itu, Anugerah Jasa Putra disampaikan kepada 132 pegawai yang telah bersara, Anugerah Setia Putra kepada 45 pegawai yang telah berkhidmat untuk tempoh 20 tahun di UPM, Anugerah Bakti Putra iaitu 20 pegawai yang telah berkhidmat untuk tempoh 30 tahun di UPM dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diterima oleh 453 pegawai yang berkhidmat dengan cemerlang bagi tahun 2018.

Untuk sambutan Hari Pekerja pula, sebanyak enam kategori dianugerahkan iaitu Anugerah Tokoh Pekerja (P&P Akademik) yang diterima Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin dan Anugerah Tokoh Pekerja (P&P Bukan Akademik), Noorizai Mohamad Noor@Mohamad .

Anugerah Tokoh Pekerja (Pegawai Pelaksana), Noor Mohamad Zin Mohamad Naim; Anugerah Perkhidmatan Paling Lama (P&P Akademik), Prof. Dr. Zainal Abidin Talib; Anugerah Perkhidmatan Paling Lama (P&P Bukan Akademik), Mokhtar Dahari dan Anugerah Perkhidmatan Paling Lama (Pegawai Pelaksana), Abd Talib Dollah. - UPM

Tarikh Input: 21/05/2019 | Kemaskini: 29/05/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566721041