UPM, BARC Tandatangani MoU Jalin Kerjasama Penyelidikan Pertanian | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM, BARC tandatangani MoU jalin kerjasama penyelidikan pertanian

UPM, BARC tandatangani MoU jalin kerjasama penyelidikan pertanian

SERDANG, 11 Okt – Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Penyelidikan Pertanian Bangladesh (BARC) yang diadakan secara maya, yang menggariskan beberapa bidang keutamaan kerjasama pertanian.

Bidang itu termasuk bioinfomatik pertanian, penternakan dan perikanan; bioteknologi; keselamatan makanan; kesihatan haiwan dan penyakit zoonotik; penternakan marin; penjenteraan pertanian; penyelidikan di dalam produksi haiwan, pengurusan selepas tuaian dan sisa buangan; dan pengembangan keupayaan.

MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr Mohd Roslan Sulaiman dan Pengerusi Eksekutif, BARC, Dr. Shaikh Mohammad Bokhtiar. Ia disaksikan Dekan, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM, Prof. Dr Abdul Rahman Omar dan Ahli Lembaga Pengarah, Bahagian Perancangan dan Penilaian, BARC, Dr. Md. Abdus Salam.

Prof. Dr. Mohd Roslan berkata transformasi di dalam sektor pertanian perlu menitikberatkan penggunaan aplikasi berteknologi tinggi di dalam pembangunannya.

Katanya, pendekatan itu seterusnya akan memangkin pertumbuhan negara, terutamanya yang bergantung kepada agro-makanan, dan secara tidak langsung mampu menjamin sekuriti dan keselamatan makanan sesebuah negara.

"UPM akan terus berkongsi dan menyumbang kepakaran dan pengalamannya di dalam penyelidikan dan pembangunan kepada masyarakat setempat dan organisasi antarabangsa untuk kemajuan bersama," katanya.

BARC adalah badan induk di dalam Sistem Peyelidikan Pertanian Kebangsaan di bawah Kementerian Pertanian, Bangladesh.

BARC memayungi 13 institusi penyelidikan pertanian dan bertindak sebagai pusat kepada sistem pertanian Bangladesh yang bertanggungjawab di dalam merancang dan mengintegrasi sumber berkaitan aktiviti pertanian.

Sementara itu, sejarah kerjasama yang panjang di antara UPM dan BARC telah melahirkan sejumlah sarjana dan saintis di Bangladesh; melalui bantuan kepakaran UPM di dalam penyelidikan dan pembangunan pertanian.

Enam pegawai di BARC telah menamatkan pengajian peringkat PhD di UPM menerusi Program Teknologi Pertanian Kebangsaan (NATP), Bangladesh Fasa I (2011-2014).

Melalui program NATP Fasa II (2018-2022) seramai 29 pegawai daripada BARC sedang mengikuti pengajian peringkat PhD di Fakulti Pertanian, Fakulti Perubatan Veterinar dan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM. - UPM

 

Tarikh Input: 20/10/2021 | Kemaskini: 20/10/2021 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUMGMAr:12:50