UPM Bantu Komuniti Serdang Bina Pertanian Bandaran | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM bantu komuniti Serdang bina pertanian bandaran

UPM bantu komuniti Serdang bina pertanian bandaran

Oleh Rudie bin Tajuddin @ Ta

 

SERI SERDANG, 6 Mei 2020 - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalankan satu program pembangunan komuniti pertanian bandaran yang telah dihadiri seramai 40 orang penduduk pangsapuri Seri PKNS Seri Kembangan dan Seri Indah di Serdang di sini baru-baru ini.

Program dengan kerjasama University Community Transformation Centre (UCTC), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Pertanian telah mengadakan perbincangan dengan penduduk mengenai program pembangunan komuniti yang dapat memberikan perubahan kepada penduduk.

Menurut Ketua Projek UPM, Muhammad Adip Mohd Tamami, 30, projek pertanian bandaran UPM mampu memberikan pendedahan kepada penduduk betapa pentingnya produk tanaman sendiri yang halal, menjimatkan kos penanaman sayuran untuk kegunaan harian dan menjana pendapatan sampingan.

“Program yang berunsurkan pemindahan ilmu ini telah berjaya menghasilkan impak yang sangat positif dalam masa yang singkat apabila penduduk menunjukkan perubahan sikap minat terhadap pertanian bandaran ini dan telah berkeyakinan menyampaikan ilmu yang diperolehi kepada orang lain.

“Dengan ini mereka juga merupakan agen pengembangan kepada komuniti lain selari dengan hasrat UCTC UPM untuk memperkasakan kepentingan pemindahan ilmu dan seterusnya golongan yang telah dilatih akan melatih lebih ramai lagi peserta lain di masa akan dating,” katanya.

Muhammad Adip mensasarkan selepas 6 bulan projek itu akan berupaya menghasilkan tanaman bagi kegunaan harian komuniti di blok masing- masing dan dijual kepada komuniti sekitar.

“Perancangan masa hadapan ialah untuk mewujudkan satu pusat jualan yang membolehkan hasil setiap blok dikumpulkan dan dijual ke pasar- pasar berhampiran.

“Melalui program komuniti ini, perpaduan akan dapat dipupuk serta dapat menentukan hala tuju penduduk itu sendiri.  Pakar-pakar dari UPM akan mengenalpasti projek komuniti yang bakal dijalankan dalam usaha mengubah cara penduduk berfikir berpandu kepada hasil penyelidikan UPM,” katanya.

Penduduk, Suboh Kasim, 54, berkata ilmu tanaman oleh UPM bukan saja mengajar kaedah menghasilkan sayuran sendiri, tetapi penduduk dapat bertukar pendapat dan berkongsi hasil bersama komuniti lain daripada blok kediaman berbeza.

“Komuniti telah berjaya membangunkan plot-plot tanaman mereka mengikut blok kediaman mereka mengikut ilmu pertanian yang telah dipindahkan oleh pihak UPM.

“Antara tanaman sayurann yang dihasilkan termasuk sawi, kalian, bayam, serai, kesum, bayam brazil, bunga kantan, bendi, herba ulaman dan buah-buahan,” katanya.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri PKNS Seri Kembangan Halizan Yusof, 59, perlaksanaan projek pertanian bandar amat praktikal dalam mengalakkan penduduk menanam sayur-sayuran di sekitar kediaman.

“Penduduk dapat mengurangkan perbelanjaan harian mereka kerana kenaikan kos sara hidup amat tinggi di kawasan bandar,” katanya. - UPM

 

 

Tarikh Input: 10/05/2020 | Kemaskini: 10/05/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJSPAc:15:17