| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Program Pertandingan Poster Pantun Jubli Emas sempena 50 Tahun UPM

SERDANG, 18 Jun - Pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKB2109, Persembahan Lisan Tradisional dengan kerjasama Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Pertandingan Poster Pantun Jubli Emas UPM bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun UPM yang ke-50.

Program itu telah dilaksanakan selama dua minggu bermula 6 hingga 17 Jun 2022 dan majlis penutup diadakan secara hibrid di Kompleks Akademik A (KAA) yang bersiaran langsung melalui aplikasi Zoom.

Pengarah program Pertandingan Poster Pantun Jubli Emas UPM, Maryam Sakinah berkata program itu bertujuan memperkenal dan mengasah minat pelajar terhadap seni pantun Melayu bagi mewujudkan komuniti pelajar yang cinta dan tidak lupa akan seni warisan bangsa.

“Program Pertandingan Poster Pantun Jubli Emas UPM merupakan inisiatif untuk memastikan agar komuniti UPM kini lebih sinonim dan tidak melupakan seni pantun yang merupakan identiti bangsa yang unik sejak dahulu lagi,” katanya.

Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Dr. Shahril Nizam Sha’ri berkata proses mencipta pantun adalah mencabar kerana perlu memikirkan pembayang dan maksud bagi setiap rangkap yang dihasilkan.

“Pendedahan Bengkel Penciptaan Pantun dapat memberikan gambaran jelas dan teknik kepada para pelajar dalam penghasilan seni pantun Melayu,” katanya.

Fasilitator program, Nik Zaini Peei berkata program itu bukan sahaja dapat memperkenal dan mengasah minat pelajar terhadap seni pantun Melayu malah program ini juga dapat memperkasa bakat serta membuka peluang kepada pelajar bagi mengenali dan mempelajari seni pantun Melayu dengan lebih mendalam.

“Melalui pertandingan ini saya dapat lihat bahawa pelajar UPM sememangnya mempunyai minat dan bakat dalam menghasilkan karya pantun Melayu yang dibuktikan melalui penglibatan peserta dari kalangan pelajar UPM yang terdiri daripada pelbagai bangsa,” katanya.

Pelajar Bacelor Ekonomi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM Aiman Izzuddin Mohamad berkata beliau bangga dapat menyertai Pertandingan Poster Pantun Jubli Emas UPM kerana dapat menimba ilmu pengetahuan dalam menghasilkan karya pantun Melayu.

“Ini adalah pengalaman pertama saya menyertai pertandingan poster yang bertemakan pantun sepanjang saya berada di UPM dan saya teruja kerana diberi peluang untuk menimba ilmu dalam penghasilan pantun melalui slot bengkel penciptaan pantun yang diadakan,” katanya.

Pertandingan Poster Pantun Jubli Emas UPM itu telah dimenangi oleh pelajar Doktor Perubatan Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar, Ahmad Akram Mukhlis Mohd Yazid yang berjaya membawa pulang baucer tiket wayang TGV dan tempat kedua dimenangi oleh pelajar Bacelor Ekonomi Dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi,  Aiman Izzuddin Mohamad yang berjaya membawa pulang baucer akaun premium Netflix manakala tempat ketiga dimenangi oleh pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia Dengan Teknologi Maklumat, Fakulti Ekologi Manusia,  Nurul Syahirah Muhamad Halmee yang berjaya membawa pulang baucer grab bernilai RM30.

Program Pertandingan Poster Pantun Jubli Emas UPM itu mendapat sambutan baik dengan penerimaan ramai peserta berbilang kaum dari UPM serta berjaya menerima beberapa penyertaan pelajar antarabangsa dan luar komuniti UPM. - UPM

WXEUHAQ~