| Universiti Putra Malaysia

UPM ANJUR PROGRAM PENUTUPAN GMW2023

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Sabri Omar  

SERDANG, 27 Mac – Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing™), Universiti Putra Malaysia (UPM), menjadi tuan rumah majlis penutupan Program Penutupan Global Money Week 2023 (GMW2023) peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini, hari ini.

Pengarah MyAgeing™ UPM, Prof. Ir. Dr. Siti Anom Ahmad berkata, GMW2023 merupakan kempen peningkatan kesedaran secara global anjuran Financial Education Network (FEN) dengan slogan ‘Learn. Save. Earn’ dan tema “Plan your Money, Plant Your Future”.

Beliau berkata program ini merupakan platform wacana literasi kewangan dan pendekatan pendidikan sepanjang hayat yang bertujuan untuk mendidik golongan muda terutamanya dalam membuat keputusan kewangan yang berhemat.

“GMW2023 telah berlangsung selama seminggu bermula 20 Mac lepas sehingga semalam, 26 Mac 2023 secara serentak di seluruh dunia. Melalui program ini MyAgeing™ UPM juga bekerjasama dengan Fakulti Ekologi Manusia (FEM), UPM dalam pengisian program sepanjang minggu.

“MyAgeing™ UPM turut melaksanakan Hab Pendidikan dan Literasi Kewangan (MyFiLE) yang berfungsi sebagai platform untuk penyelidikan translasional mengenai pendidikan kewangan,” katanya.

Jelasnya, MyFiLE menawarkan perkhidmatan seperti Program Pensijilan Perancang Kewangan Bertauliah (CFP), Pemeriksaan Kesihatan Kewangan Peribadi, Bimbingan Kewangan serta melaksanakan Webinar ‘Jom Belajar’ serta kursus-kursus berkaitan kewangan. - UPM

SXEYNAT~