UPM Anjur Program Penilaian Rekebantuk Sejagat Persediaan Membina Fasiliti Keperluan OKU | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM anjur program Penilaian Rekebantuk Sejagat persediaan membina fasiliti keperluan OKU

UPM anjur program Penilaian Rekebantuk Sejagat persediaan membina fasiliti keperluan OKU

SERDANG, 20 Feb – Universiti Putra Malaysia (UPM) buat julung kalinya telah menganjurkan Program Penilaian Rekabentuk Sejagat sebagai persediaan universiti membina fasiliti yang mengikut spesifikasi individu Orang Kurang Upaya (OKU).

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Prof. Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin yang mewakili Naib Canselor UPM dalam ucapan perasmiannya berkata, program itu bertepatan dengan dasar dan komitmen universiti dalam membangunkan keperluan OKU.

“UPM berjaya mendapat sebanyak RM1 juta peruntukan khas melalui permohonan peruntukan khas kerajaan untuk menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU yang diumumkan oleh kerajaan melalui Ucapan Bajet 2022,” katanya.

Selain itu, UPM turut mendapat tawaran sebanyak RM65,000 melalui sumbangan dana tidak patuh syariah daripada Pusat Pembangunan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat Dan Endowmen (WAZAN).

Pengarah program, Dr. Saiful Hasley Ramli berkata, hasil dapatan penilaian berkenaan diharap dapat digunakan bagi menambahbaik pengurusan, kerja-kerja menaik taraf serta pembinaan bangunan tertentu di dalam universiti pada masa akan datang dalam memperkasa kampus lestari dan kampus inklusif OKU.

Selain itu, program dibawah kelolaan bersama Persatuan Keluarga Autisme UPM, FRSB, Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU di Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset serta Persatuan Mahasiswa OKU UPM turut memberi kesedaran kepada komuniti universiti mengenai kepentingan menerapkan reka bentuk sejagat di dalam setiap bangunan di universiti.

Seramai 22 peserta hadir merupakan penilai bangunan dan dua orang moderator yang terdiri daripada individu OKU, pelajar jurusan rekabentuk dan senibina, jurutera, arkitek serta pakar-pakar di dalam bidang reka bentuk dan seni bina. – UPM

Tarikh Input: 04/03/2022 | Kemaskini: 04/03/2022 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
BWKBJAS:09:24