| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur program Funtastic STEM 2.0 pupuk minat pelajar bidang sains dan matematik

SERDANG – Seiring dengan kemajuan Malaysia pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kini telah mengorak langkah dalam usaha mempelbagaikan program yang berasaskan kemahiran dan teknologi khususnya.

Sejajar dengan itu, Kelab My STEM Ambassador Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi telah menganjurkan program Funtastic STEM Siri 2.0 bersama-sama dengan pelajar Sekolah Kebangsaan Sawah Sempadan (SKSS), Tanjong Karang, Selangor baru-baru ini.

Seramai 30 ahli jawatankuasa adalah hasil kerjasama Kelab My STEM Ambassador UPM bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor dengan Tuan Haji Zulkapli Ismail, selaku Guru Besar SKSS dan juga merupakan guru Panitia Sains SKSS. 

Pengarah program, Muhamad Zulkarnai Hussin berkata, program itu bertujuan memupuk minat para pelajar dalam mata pelajaran sains dan matematik melalui pendekatan eksplorasi berasaskan bidang STEM yang telah dijalankan.

“Seramai 80 pelajar yang terdiri daripada pelajar Tahun 4 dan Tahun 5 telah hadir dalam program ini diberikan pendedahan berkaitan pengetahuan STEM serta membolehkan mereka aplikasikan serta dipelajari melalui aktiviti penerokaan berbentuk eksplorasi bersama para fasilitator,” katanya.

Penasihat kelab, Prof. Madya Dr. Yap Wing Fen menyifatkan program tersebut bukan sahaja dapat memberi ilmu kepada para pelajar, bahkan mampu memberi memberikan pengalaman baharu dalam berkongsi idea bagi bidang STEM bersama pelajar sekolah rendah.

“Program buat julung kalinya yang dilakukan secara fizikal dan pelbagai aktiviti berkaitan STEM yang kami sediakan untuk dimanfaatkan oleh pelajar sekolah bagi mereka secara langsung mempelajari ilmu baharu,” katanya.  

Guru Besar SKSS, Tuan Haji Zulkapli Ismail berkata program itu dapat memupuk minat para pelajar dalam bidang STEM.

“Saya amat berbangga dengan usaha para pelajar UPM sendiri yang hadir ke Tanjong Karang demi mendedahkan ilmu STEM kepada pelajar sekolah rendah menerusi aktiviti eksplorasi sains yang menyeronokkan ini,” katanya.

Selain itu, antara aktiviti diadakan iaitu para peserta perlu melengkapkan kesemua tujuh cabaran yang telah disediakan berkonsepkan pengetahuan dalam bidang STEM serta membolehkan mereka menyelesaikan cabaran tersebut dengan berfikir secara kritis serta dapat memupuk minat mereka dalam bidang ini.

Program ini turut dimeriahkan lagi dengan pertunjukan silap mata yang diketuai oleh Prof. Dr. Sidek Hj Ab Aziz, atau lebih mesra dikenali sebagai Dr. Magik yang telah mempersembahkan pertunjukan silap mata sains bersama beberapa orang ahli jawatankuasa kelab My STEM Ambassador UPM iaitu Muhammad Syazanee, Mohamad Khusyairi dan Muhammad Nazreen dan Muhammad Nazirul. – UPM

WXETFAw~