| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur program cakna komuniti melalui pemerkasaan keusahawanan digital

Oleh: Nurzatul Hakimah Mahmud Mahayudin

KAJANG, 5 Ogos - Berdasarkan data Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, 6 ribu peserta wanita telah menyertai program kemahiran I-KeuNita WANITA (I-KeuNITA) atau DeWI (Development of Women Entrepreneurship Initiative Programme) di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Manakala di Selangor sahaja pada tahun 2020 seramai 9,768 wanita Melayu terlibat sebagai usahawan wanita merujuk kepada data yang disediakan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia.

Melihat kepada situasi semasa yang mana semakin ramai wanita terlibat dalam perniagaan dan keusahawanan lebih-lebih lagi selepas mendepani cabaran pandemik COVID-19 selama dua tahun, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif untuk ‘turun padang’ menganjurkan program pembangunan usahawan wanita secara percuma kepada komuniti Bandar Bukit Mahkota baru-baru ini.

Kira-kira 30 orang peserta yang terdiri daripada peniaga kecil-kecilan serta ibu tunggal menghadiri Program Pembangunan Usahanita dan Ibu Tunggal: Jom Berniaga Online Bersama Shopee di Pusat Komuniti Bukit Mahkota yang telah diadakan di Pusat Komuniti Bandar Bukit Mahkokta pada 23 Julai 2022.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi CIMB Group Holdings Berhad, CIMB Bank Berhad and CIMB Bank PLC Cambodia, Datuk Mohd Nasir Ahmad yang juga merangkap Pengerusi Persatuan M6, Bandar Bukit Mahkota turut dihadiri oleh wakil Persatuan Penduduk Bandar Bukit Mahkota.

Program Pembangunan Usahawan Wanita: Jom Berniaga Online Bersama Shopee   merupakan program dengan kerjasama Persatuan Penduduk Bukit Mahkota yang bertujuan untuk membuat pemindahan ilmu berkaitan keusahawanan kepada kaum peniaga wanita dan ibu tunggal Mahkota 6, Bandar Bukit Mahkota serta memberi penasihatan dan bimbingan kepada perniagaan peringkat permulaan dan perniagaan yang sedang berjalan.

Menurut Ketua Program yang juga pensyarah di SPE, UPM, Prof. Dr. Rozanah Ab. Rahman berkata persatuan sebelum itu mempunyai hasrat untuk membantu peniaga wanita dan ibu tunggal menimba ilmu perniagaan ke arah menjadi usahawan berjaya.

“Ramai peniaga wanita kecil-kecilan dan sederhana yang berniaga dari rumah contohnya masih belum mempunyai ilmu asas keusahawanan buat masa sekarang serta ini merupakan salah satu inisiatif yang kecil dapat dimulakan dan diharapkan berterusan dan berkembang,” katanya.

Wakil Persatuan M6, Bandar Bukit Mahkota, Datin Paduka Rusmani Abd Rani turut menyatakan rasa gembira atas peluang kerjasama dengan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) bagi menzahirkan hasrat mereka untuk membantu penduduk sekitar.

Menurut beliau, kebanyakan peniaga terutamanya wanita mempunyai keinginan untuk meluaskan perniagaan tetapi tidak yakin apabila menggunakan aplikasi digital.

“Kebanyakan peserta menjalankan perniagaan mengikut amalan biasa iaitu dari rumah secara bersemuka atau menjual dari tapak niaga. Mereka juga hanya tertumpu di lokasi yang berdekatan di kawasan sekitar,” katanya.

Peserta program telah diberikan pendedahan perkongsian pengalaman daripada pensyarah SPE Puan Saadiatul Ibrahim tentang tatacara membuka akaun shopee, menjual melalui shopee dan juga cara-cara berhadapan dengan pelanggan secara maya. Peserta juga diberikan pendedahan ilmu pemasaran melalui aplikasi Tik Tok.

Kandungan program ini juga turut melibatkan modul latihan secara berterusan atau ‘coaching system’. Modul ini akan membimbing peserta yang benar-benar komited untuk memudahkan peserta mendapat khidmat nasihat. Pemantauan secara berterusan ini melibatkan khidmat nasihat pemasaran, etika perniagaan dan pengurusan akaun perniagaan. Peserta akan diberikan sijil latihan yang membolehkan mereka menggunakan sijil sebagai nilai tambahan terutamanya untuk mendapatkan sumber pendanaan dari kerajaan atau agensi kerajaan yang bersesuaaian.

Jawatankuasa Program Pemindahan Ilmu Komuniti ini juga dianggotai oleh Dr. Zariyawati Mohd Shaari, Dr. Saira Khairudin, Dr. Yusniyati Yusri, Puan Nurzatul Hakimah Mahmud Mahayudin dan Encik Mohd Yunus Mt Desa. Turut hadir Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan, Jaringan Korporat dan Komuniti) SPE-UPM. - UPM

WXDdFAb~