| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur FBCM2023 bincang penyelidikan biodiversiti Malaysia

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Saleha Haron

SERDANG, 2 Mac – Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Persidangan dan Bengkel Future of Biodiversity Collections in Malaysia (FBCM2023) untuk membincangkan penyelidikan biodiversiti Malaysia.

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, ini merupakan platform untuk para penyelidik untuk berkongsi dan membentuk rangkaian yang kukuh pada masa depan yang lebih baik untuk penyelidikan biodiversiti negara.

“Saya percaya melalui pertemuan serta pembentangan bersama penyelidik dalam bidang berkenaan akan memberi manfaat dalam usaha untuk mencari kaedah yang bersesuaian dalam menjaga biodiversiti negara,” katanya.

Pengarah I-AQUAS, UPM, Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata, konferensi dan bengkel itu dianjurkan untuk menangani isu pemeliharaan serta masa depan biodiversiti di Malaysia.

“Persidangan ini telah mengumpulkan pelbagai kumpulan pakar dan pihak berkepentingan untuk membincangkan isu kritikal mengenai biodiversiti dalam penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan  serta cabaran yang dihadapi,” katanya.

Selain itu, pada majlis penutupan FBCM2023, turut diadakan pembentangan oleh Prof. Dr. Julia D. Sigwart iaitu "How Museums Support Scientific Development".

Sementara itu, persidangan ini dihadiri seramai 200 peserta yang terdiri dari wakil universiti, agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia serta pengumpul persendirian spesimen berkaitan biodiversiti. 

Antara penyelidikan yang dibentangkan adalah berkaitan koleksi biodiversiti di Malaysia dan pada sesi bengkel tersebut membincangkan isu kritikal biodiversiti serta pelan untuk pembangunan Muzium Biodiversiti Kebangsaan di negara. – UPM

SXEaGA5~