| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur ‘CEO@FacultyProgramme’ bersama KSU KKMM

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto: Norazreen Awang

 

SERDANG, 20 Mac – Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Pusat Hubungan dan Jaringan Industri (CiRNeT), UPM menganjurkan CEO@FacultyProgramme bersama Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Dato’ Seri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai industri.

Dalam sesi perkongsian, beliau mahu wanita memperkasakan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai kemahiran digital yang boleh diterokai wanita di Malaysia.

“Terdapat pelbagai bidang yang boleh diterokai wanita antaranya analisis data besar dan algoritma penukaran data yang sangat diperlukan dalam industri pekerjaan masa kini.

“Wanita bukan sahaja sekadar perlu tahu untuk membuat pembelian online malah perlu ada kemahiran dalam membangunkan aplikasi  telefon bimbit yang dapat membantu masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan mengenai ‘Embracing Digital Era: Roles of Women’ kepada 120 pelajar UPM dalam bidang komunikasi.

Penasihat program, Dr. Nurul ‘Ain Mohd Hassan berkata penganjuran program itu boleh membantu memperbaiki kurikulum sedia ada melalui perkongsian pengetahuan dan pengalaman pelbagai pihak yang berpengalaman.

"Melalui program ini, ia diharapkan dapat meningkatkan penyertaan sektor industri sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan tinggi negara melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran daripada pemimpin-pemimpin industri," katanya.

 

Sementara itu, pada tahun lalu Kementerian Pendidikan Tinggi melantik empat ketua pegawai eksekutif (CEO) serta Pegawai Kanan kerajaan untuk berkolaborasi bersama UPM iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes; Pengarah Kumpulan Penyelidikan & Teknologi Rolls-Royce, Dr. Richard Parker; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri  Dr. Ali Hamsa dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Tan Sri  Mohd Bakke Salleh.

Di antara tugas CEO yang dilantik untuk CEO@FacultyProgramme adalah berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan dunia korporat bersama staf UPM serta membentuk dan membimbing bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta pembangunan sahsiah pelajar secara holistik.

 

Melalui program itu, kerjasama industri akan dilibatkan melalui program pembelajaran melalui pengalaman, berserta kerangka penilaian bersepadu baharu yang melihat ke arah pembangunan holistik. – UPM

 

 

WXDdXA0~