| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU

Oleh: Marlinah Muslim

SERDANG, 5 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Sambutan Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU UPM 2021 dari 1 hingga 31 Disember 2021.

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman ketika berucap berkata UPM berusaha memperkasakan kualiti tadbir urusnya dengan mengambil langkah proaktif memperkenalkan 10 inisiatif utama sebagai usaha memperkasa UPM sebagai kampus inklusif OKU, termasuk mengumumkan bulan Disember sebagai Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU UPM.

Beliau juga berkata UPM akan menerbitkan buku 50 Permata UPM yang turut mengangkat alumni OKU UPM sebaris ikon-ikon lain berdasarkan kejayaan dan sumbangan yang diberikan oleh mereka.

Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman mengajak warga UPM untuk sama-sama berganding bahu dengan memberi idea dan saranan, sebagai manifestasi kecaknaan mencemerlangkan UPM selaras dengan gagasan ’Menggema Seruan al Falah dari Menara Ilmu’.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari OKU sempena Hari OKU Sedunia peringkat kebangsaan yang disambut pada 3 Disember 2021.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu, pula mengadakan Majlis Ramah Mesra Bersama Warga OKU UPM pada 2 Disember.

Dalam ucapannya, beliau mengumumkan inisiatif baharu UPM iaitu “Putra Buddies” yang baru diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti sebagai satu lagi inisiatif UPM untuk membantu pelajar UPM dalam kehidupan di kampus.

Pelbagai aktiviti diadakan tahun ini yang lebih menekankan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Persatuan Keluarga Autisme UPM, Pusat Perhubungan Alumni, PERKESO, Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Fakulti Ekologi Manusia, Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM, serta Kumpulan 20 Bakti Siswa dari Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM.

Kerjasama itu selari dengan slogan Naib Canselor melalui ucapannya sempena Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU 2021 iaitu ‘UPM cakna, warga disantuni, kebersamaan terpatri’.

UPM kini mempunyai 56 pelajar dan lima orang kakitangan OKU yang sama-sama memajukan dan membawa UPM lebih terkehadapan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.  - UPM

WXEQNA~