| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Bengkel Transformasi Minda

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Polis Diraja Malaysia Bukit Aman menganjurkan Bengkel Transformasi Minda Dalam Pengurusan Kerjaya, di Bukit Aman di sini.

Program bertujuan memberi pendedahan dan ilmu kepada pegawai polis wanita dalam menguruskan stres dalam kehidupan seharian sebagai petugas barisan hadapan

Ia dirasmikan YDH CP Dato’ Dr. Lee Bee Phang yang juga Pengerusi JPPPW. Beliau diiringi Prof. Madya Dr. Lee Lai Soon selaku Ketua Projek geran KTGSJINM@PTJ.

Program itu adalah satu daripada kerjasama yang ditawarkan oleh INSPEM, UPM hasil cetusan idea Pengerusi JPPPW dengan menawarkan jaringan kerjasama antara UPM dan PDRM di bawah geran KTGS JINM @ PTJ.

Penceramah program adalah Pegawai Psikologi Kanan daripada Hospital Pengajar UPM (HPUPM), Rafidah Sadarudin. 

Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan sasar. Sesi 1 terdiri daripada Pegawai Kanan Polis dan Sesi 2 terdiri daripada Pegawai Rendah Polis Wanita.

Seramai 55 orang peserta (29 Pegawai Kanan dan 26 Pegawai Rendah) daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Urus Setia KPN (Penyelidikan & Pembangunan), serta Kontinjen dari Kuala Lumpur, Selangor, dan Negeri Sembilan, menyertainya. 

Program itu merupakan usaha JPPPW dalam membantu pegawai polis wanita dalam menguruskan stres ketika menjalani penugasan kepolisan dan kehidupan seharian. Fokus adalah bagi mengurangkan pengharapan kepada perkara bersifat kehendak bagi mengelakkan kekecewaan dan stres minda sekiranya ia gagal dicapai.

Program berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan. Peserta memberikan maklumbalas positif dan mereka menyedari keperluan untuk menerima perubahan dalam norma baharu kerjaya sebagai petugas barisan hadapan.  - UPM

SXETOAL~