| Universiti Putra Malaysia

Tunku Azizah berkenan rasmi Pandu Puteri Siswi

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto oleh: Marina Ismail

 

SERDANG, 4 Dis – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan merasmikan Pelancaran Persatuan Pandu Puteri Siswi di sini.

Tunku Azizah yang juga Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), dalam titah ucapan baginda, mahu pihak pengurusan di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), swasta (IPTS) dan Kolej Politeknik menubuhkan Pandu Puteri Siswi PPPM supaya persatuan itu dapat disertai lebih ramai golongan mahasiswi.

 

“Setakat ini kita baru ada ahli Pandu Puteri Siswi PPPM dari lima Universiti Awam (UA) di seluruh negara. Kita berhasrat untuk menambah lebih ramai ahli daripada jumlah sedia ada ketika ini (2018) iaitu 834 orang,” titah baginda.

Lima UA berkenaan adalah UPM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Malaysia Perlis (UNiMAP).

Pada majlis itu, Raja Permaisuri Agong diiringi Timbalan Yang Dipertua PPPM, Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Al-Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Jayadhevi Subramaniam.

Seramai 3,000 pelajar yang terdiri daripada pelajar UPM serta institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh Malaysia serta sekolah menengah dan rendah menghadiri majlis itu.

Majlis itu juga merupakan satu lagi sejarah yang berjaya dilakarkan di UPM khasnya dan juga PPPM.

Sementara itu, UPM sentiasa menggalakkan pelajar untuk aktif berpersatuan dan melakukan aktiviti yang melibatkan komuniti luar selain menumpukan perhatian mereka kepada pelajaran.

UPM berharap agar PPP Siswi akan mendapat sambutan di kalangan siswi universiti di seluruh Malaysia dan mendaftar sebagai ahli PPP Siswi di universiti dan IPT masing-masing.

Pelbagai faedah akan diperolehi sebagai ahli PPP Siswi yang bernaung di bawah PPPM. Malaysia merupakan satu-satunya negara yang meletakkan Persatuan Pandu Puteri di bawah Akta Parlimen, pada 1958. – UPM

 

WXDdTAV~