| Universiti Putra Malaysia

Tujuh atlet kebangsaan bergraduat serentak

Oleh Faiz Hamzah dan Hendra Rijal

 

SERDANG, 30 Okt – Menumpukan pengajian dalam bidang akademik tatkala juga giat aktif sebagai atlet kebangsaan dengan mewakili negara dalam pelbagai kejohanan memerlukan pengorbanan besar dalam berdepan pelbagai cabaran, sebelum meraih kejyaan menggenggam ijazah.

 

Tujuh orang atlet negara menamatkan pengajian dan menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-42 hari ini.

 

Mereka ialah Mohd Aliff Al-Hafiz Abdul Karim dan Ahmad Syukor Ab Raman (kedua-duanya pemain ragbi), Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Soberi (hoki), Mohd Alif Adha Hassan (Memanah), Mohammad Daniel Mokthar (olahraga), Mohd Faeez Saad (tenis) dan Nurul Adha Abu Bakar (bola jaring).

 

Mohammad Hazrul Faiz, 25, Bacelor Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi yang membantu Malaysia meraih emas hoki pada Sukan SEA 2017 berkata beliau terpaksa memanjangkan tempoh pengajian lebih setahun kerana komitmen bersukan tetapi ia tidak menghalangnya menamatkan pengajian.

 

Nurul Adha 25, Bacelor Sains Komputer Pengkhususan Sistem Komputer, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat yang mewakili Malaysia dalam kejohanan bola jaring dunia di Singapura pada 2011, berkata beliau juga menangguhkan pengajian selama satu tahun untuk menumpukan perhatian menghadapi Sukan SEA 2017.

 

“Tempoh pengajian saya selama empat tahun tetapi pleru ditambah setahun lagi kerana masa yang saya gunakan untuk latihan dan menyertai Sukan SEA 2017.  Alhamdulillah saya berjaya menamatkan pengajian,” katanya.

 

Mohd Alif Adha, 25, Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Pengajian Pendidikan pula pernah mewakili UPM dalam Sukan lnstitusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) dan Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) serta peringkat luar seperti Terbuka Jakarta, Universiade Korea dan ASEAN Universiti Games (AUG)  di Singapura.- UPM

SXERHAs~