| Universiti Putra Malaysia

TOP AGRO @ UPM MUNCUL JUARA BUSINESS PITCHING DAN RERUAI TERBAIK

BACHOK, 14 Ogos - Top Agro @UPM muncul juara dalam Pertandingan ‘Business Pitching’ serta memenangi Anugerah Reruai Terbaik sempena Structured Entrepreneurial Incubator Programme (SEIP) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Kemenangan itu membolehkan UPM membawa pulang wang tunai RM3,000 dan RM500 berserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, Datin Noorazah Omar, di Dewan Tuanku Canselor, UMK.

Pelajar Fakulti Pertanian, UPM, Ahmad Shukry Yahya yang mewakili Syarikat Agrowers Industri berjaya menambat hati juri dengan idea inovasi yang dibawakan melalui Projek Penanaman Buah Rock Melon Secara Fertigasi dengan bimbingan mentor Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM, Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali.

"Saya tidak menyangka akan muncul sebagai juara bagi pertandingan ‘Business Pitching’ ini kerana saingan sangat sengit daripada universiti lain yang membawa produk inovasi mewakili inkubator mereka.

“Saya juga telah mendapat tawaran daripada Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) bagi menjalankan usaha sama dalam Projek Penanaman Rock Melon dengan menggunakan teknologi yang lebih terkini dan meluas pada masa akan datang" kata Ahmad Syukri.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada CEM UPM kerana telah memberi kepercayaan kepada Syarikat Agrowers Industri dalam melaksanakan Projek Penanaman Buah Rock Melon tersebut.

SEIP merupakan inisiatif program keusahawanan Nasional di bawah KPT dalam mengkomersialkan produk berasaskan inovasi dan teknologi, mencipta pekerjaan, dan meningkatkan ekonomi negara.

Sebanyak 10 inkubator dari 5 buah Universiti Awam dan 2 Politeknik telah berjaya menghasilkan 42 produk dalam kluster Teknologi Digital, Sains Teknologi, Industri Agro, Keusahawanan Sosial dan Industri Kreatif. - UPM

WXEUMAf~