| Universiti Putra Malaysia

“Tingkatkan usaha bebas amalan merokok”

Oleh Nisa Khairina Amirudin

Foto Marina Ismail

SERDANG, 27 Jun – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad mahu usaha murni ke arah mewujudkan kesedaran persekitaran yang bebas amalan merokok terus diangkat dan didokong oleh seluruh rakyat Malaysia.

Beliau berkata, pihak kementerian akan memberi sokongan berterusan dalam penganjuran program seumpama itu.

“Merokok bukan sahaja merugikan kesihatan dan wang ringgit malah turut menjejaskan produktiviti, ekonomi dan persekitaran masyarakat,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kesedaran Persekitaran Bebas Amalan Merokok sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2019, di sini.

Konvensyen itu dianjurkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UPM dengan kerjasama Malaysian Council for Tobacco Control (MCTC), Malaysian Medical Association (MMA), dan Kementerian Kesihatan. Turut hadir Dekan FPSK, Prof. Dr. Zamberi Sekawi dan Presiden MCTC, Datuk Dr. Lekhraj Rampal.

Ia bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kesan merokok yang menjadi penyumbang utama kematian kepada kira-kira 6 juta penduduk di seluruh dunia. Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada 31 Mei setiap tahun.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata, UPM akan terus komited dalam melaksanakan kempen dan program anti merokok.

Katanya, UPM telah menjalankan aktiviti kawalan tembakau serta mengajar kursus khas Epidemiology of Non Communicable Diseases dan Prevention and Control of NCDs Risk Factors.

Beliau berkata, kursus khas itu diajar kepada pelajar Master of Public Health, Master of Science dan Doctorate of Public Health dalam usaha membantu kerajaan memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya merokok.

Beliau berkata UPM juga menjalankan Perkhidmatan Berhenti Merokok untuk membantu pelajar dan kakitangan yang mahu berhenti merokok. – UPM.

SXEUTAX~