| Universiti Putra Malaysia

TIGA PROGRAM ALAM SEKITAR UPM DAPAT AKREDITASI UK

 

SERDANG, 15 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mendapat akreditasi profesional daripada Committee Heads of Environmental Sciences, Jawatankuasa Pendidikan Institution of Environmental Sciences (CHES-IES), United Kingdom untuk tiga program pengajiannya di Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS) baru-baru ini.

Dekan FPAS, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata tiga program itu ialah Kepujian Bacelor Pengurusan Alam Sekitar, Bacelor Sains dan Teknologi Alam serta program eksekutif Master Alam Sekitar.

“Dengan pengiktirafan ini, UPM menjadi Universiti pertama di Asia Tenggara dan keempat di luar United Kingdom mendapat akreditasi antarabangsa ini.

“Ketiga-tiga program tersebut adalah program rintis dalam bidang pengajian alam sekitar di Malaysia, dengan program bacelor pertama kali ditawarkan pada tahun 1976, turutan daripada tuntutan untuk melonjakkan pendidikan dan penyelidikan alam sekitar selepas Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Persekitaran Manusia di Stockholm, Sweden pada tahun 1972,” kata Prof Mad Nasir.

Institution of Environmental Sciences (IES), diasaskan pada tahun 1971, adalah sebuah organisasi amal yang mempromosikan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sains alam sekitar dengan menyokong saintis dan ahli akademik profesional.

Committee of Heads of Environmental Sciences (CHES), ditubuhkan pada tahun 1991 dan bergabung dengan IES pada tahun 2012, adalah sebuah organisasi jaringan aktif yang mewakili sains alam sekitar dan bidang berkenaan di peringkat pengajian tinggi dan lanjutan.

 

CHES bertindak sebagai jawatankuasa pendidikan IES, menilai dan memberi pengiktirafan akreditasi kepada program bachelor sejajar dengan Quality Assurance Agency for Higher Education (QAA) Benchmark Statement for Earth Sciences, Environmental Sciences and Environmental Studies (ES3), di United Kingdom, termasuk memberi pengiktirafan akreditasi kepada program Master yang sejajar dengan tanda aras ES3.

Akreditasi ini adalah sinonim dengan pencapaian piawaian dan kecemerlangan tertinggi dalam program akademik sains alam sekitar. Hanya 45 buah universiti di seluruh dunia yang telah menerima pengiktirafan ini untuk program pengajian ijazah mereka seperti yang tersenarai di https://www.the-ies.org/accreditation.

Pelajar dalam program berakreditasi CHES mempunyai capaian kepada laluan kemajuan profesional yang berkualiti tinggi untuk kerjaya mereka. Mereka boleh mendapatkan Keahlian Pelajar IES secara percuma kelayakan untuk laluan pantas keahlian apabila mereka menamatkan pengajian mereka, dan boleh berusaha untu menjadi ahli professional dan saintis Diktiraf Alam Sekitar (Chartered Environmentalist and Chartered Scientist).

Pencapaian akreditasi IES ini adalah bukti komitmen dan dedikasi ahli Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar dalam menawarkan program akademik berkualiti tinggi dan mempersiapkan graduan dengan pengetahuan dan kemahiran penting yang diperlukan untuk masa depan, sejajar dengan misi universiti untuk menjadi universiti bereputasi antarabangsa.

Program yang mendapat pengiktirafan akreditasi CHES-IES ini merupakan tiga program Bachelor dan program Master dengan kerja kursus di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar. Program lain adalah Bacelor Sains Hutan, Bacelor Sains dan Teknologi Kayu, Bacelor Sains Taman dan Rekreasi.

Maklumat lanjut mengenai pengajian, penyelidikan dan peluang kerjasama yang ditawarkan oleh Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar boleh didapati melalui Dekan, Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin (dean.forenv@upm.edu.my). - UPM

 

 

WXDdPAo~