| Universiti Putra Malaysia

Tiga adik beradik berjaya bergraduat Master

Oleh: Nisa Sahira Samsudin
Pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan

SERDANG, 24 Mac – Tiga adik-beradik perempuan, Norasikin Ishak, Norzaida Ishak dan Nor Izarina Ishak telah berjaya bergraduat Master Pentadbiran Pendidikan di Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-45 pada hari ini.

Norasikin kini berkhidmat sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran Teknik dan Vokasional di Sekolah Menengah Kebangsaan Juasseh yang kini baharu sahaja pindah ke sekolah tersebut selama dua minggu.

Adiknya, Norzaida kini berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Pagi, manakala Nor Izarina kini berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi.

Mereka berkata bahawa keinginan untuk menyambung pengajian master di UPM terdetik dari surat siaran daripada UPM yang menawarkan kursus dalam mod cuti sekolah di mana kuliah akan diadakan sewaktu cuti persekolahan.

Bagi mereka penawaran program dengan mod tersebut adalah amat sesuai untuk mereka kerana ianya tidak mengganggu tugas utama mereka sebagai seorang guru.

Semangat mereka untuk menyambung pengajian didorong oleh bapa mereka sendiri yang amat mementingkan tuntutan ilmu dalam keluarga mereka.

Selain itu, mereka bertanggapan bahawa kejayaan mereka dalam menggenggam Master ini sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi kepada anak mereka serta anak didik mereka.

Meskipun diuji dengan pelbagai masalah dalam melengkapkan Master ini, mereka tidak pernah berputus asa dan sering berpegang pada kata-kata “Cuba Selagi Mampu”. - UPM

WXEaOAY~