Tidak Fasih Berbahasa Inggeris, Punca Graduan Gagal Temuduga | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Tidak fasih berbahasa Inggeris, punca graduan gagal temuduga

Tidak fasih berbahasa Inggeris, punca graduan gagal temuduga

Oleh Faiz Hamzah

 

SERDANG, 5 Okt - Graduan selalunya gagal dalam temuduga mendapatkan pekerjaan berpunca daripada kurangnya tahap keyakinan diri kerana tidak fasih berbahasa Inggeris, kata Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dato Dr. Aini Ideris.

 

Beliau berkata, potensi untuk mereka mendapatkan pekerjaan amat sukar apabila gagal berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik kerana industri atau syarikat amat mementingkan kemahiran berkenaan.

 

“Sebenarnya para graduan bukanlah tidak mempunyai kepakaran dalam bidang mereka, tetapi disebabkan gagal untuk menguasai kemahiran berbahasa Inggeris, mereka berkemungkinan tidak mendapat pekerjaan jika dibandingkan dengan graduan yang fasih berbahasa Inggeris,” katanya pada Persidangan Antarabangsa Pengajaran Bahasa Inggeris (MICELT) 2018, di sini.

 

Katanya, UPM sentiasa memberi pendedahan kemahiran berbahasa Inggeris kepada pelajar sama ada di dalam bilik kuliah, program atau aktiviti sepanjang pengajian supaya mereka lebih yakin terhadap diri sendiri seterusnya membolehkan mereka diterima oleh majikan.

 

MICELT 2018 adalah satu platform penetapan standard untuk menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Persidangan dua hari pada 5 dan 6 Oktober itu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Fakulti Pengajian Pendidikan UPM sebagai wahana himpunan pengetahuan, kemahiran serta kepakaran bagi memenuhi keperluan pendidikan bahasa Inggeris.

 

Bertemakan ‘Shaping New Understanding in English Language Teaching’, ia dibahagikan kepada 14 tema bagi membuka ruangan perbincangan yang lebih efektif dan memenuhi keperluan semasa.

 

 

Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Prof Dr. Aida Suraya Md Yunus pula berkata bahasa Inggeris bukan sahaja bahasa kedua dalam negara bahkan mampu memberikan pengalaman masa hadapan untuk dipraktikkan.

 

Katanya, bahasa Inggeris harus digunakan dengan fasih dan perlu ada kesedaran mengenai kepentingan penggunaan bahasa itu.

 

MICELT 2018 turut mengundang enam tokoh yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan berpengalaman luas yang berbeza dalam bidang pedagogi bahasa Inggeris menyertai persidangan MICELT ke-12 itu.

 

Ia dianjurkan Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM dengan kerjasama Unit Teaching English as a Second Language (TESL) di UPM dan ELS Language Centre, yang turut menjadi penaja utama. - UPM

 

Tarikh Input: 16/10/2018 | Kemaskini: 16/10/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566078474