| Universiti Putra Malaysia

Thohira Synbiotics percepat tumbesaran ikan, udang

Oleh Azman Zakaria

Foto: Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 2 Dis: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan Thohira Synbiotics daripada mikroorganisma, produk gabungan daripada campuran bakteria probiotik dan prebiotik yang mempercepat tumbesaran ikan serta udang, dan pada masa yang sama melindungi ternakan itu daripada ancaman penyakit.

Thohira Synbiotics yang dirumus khas sebagai makanan untuk spesies akuatik ini akan meningkatkan hasil ternakan, dengan cara meningkatkan penghadaman dan penyerapan makanan.

Produk ini juga boleh menstabilkan kualiti air ternakan ikan dan udang, serta meningkatkan kualiti dasar kolam dengan lebih berkesan.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Dr. Shuhaimi Mustafa berkata, Thohira Synbiotics terdiri daripada mikroorganisma yang berkebolehan menghasilkan pelbagai enzim, protin dan metabolit.

Katanya, apabila dicampur dalam makanan ternakan, ia membantu memudahkan pencernaan serta mempercepat tumbesaran ternakan, dan apabila dicampur dalam kolam akualkultur pula, akan mengurangkan sisa toksin ammonia, nitrit dan nitrat.

Sehubungan itu, katanya, air tidak perlu kerap ditukar dan pada masa yang sama biosekuriti akan terjaga.

“Thohira Synbiotics menghasilkan antibiotik alami yang menghalang pembiakan bakteria penyakit yang mengancam survival ternakan.

“Justeru, risiko kerugian kematian ternakan dapat dikurangkan, manakala keuntungan dapat ditingkatkan kerana tumbesaran ternakan yang lebih cepat,” katanya.

Menurutnya, beliau dan kumpulan penyelidiknya membangunkan produk itu kerana menyedari penternak kurang untung, malah ada yang mengalami kerugian akibat kos ternakan yang tinggi dan ancaman pelbagai penyakit.

Katanya, kos ternakan tinggi itu adalah kerana kadar tukaran makanan yang tidak efisien menyebabkan dedak yang diberi makan kepada ternakan kebanyakannya bertukar menjadi tinja dan merosakkan kualiti air yang mengakbiatkan ternakan tidak membesar dengan baik, manakala survival ternakan menurun.

Penyelidikan itu dibangun dan disempurnakan di UPM, bermula Januari 2015 dan tamat Mac 2017. Di peringkat industri pula, syarikat Halways Sdn Bhd menguji produk berkenaan di skala industri dan menambah baik produk itu mengikut keperluan industri.

Selain beliau, ahli kumpulan penyelidik itu ialah Dr. Muhamad Akhmal Hakim Roslan, Prof. Dr. Yunus Abd Shukor dan Muhamad Amin Jahari.

Produk itu memenangi pingat emas pada Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2019. – UPM

 

 

WXEUWAY~