| Universiti Putra Malaysia

‘The Ways of The Heart’ pamer hasil karya artis Poland

Oleh: M. Amiruddin Abdul Aziz
Foto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 23 Feb –  Sebanyak 20 hasil karya lukisan dua artis Poland dipamerkan pada pameran seni ‘The Ways of Heart’ di Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.

Dua artis itu ialah Arkitek Landskap dari Academy of Fine Arts, Gdansk, Dr. Dominika Golebiewska dan Dr. Beata Kalakowska dari University of Warrmia and Masukia, Olsztyn.

Pameran hasil karya dua hala itu dari 8 Februari hingga 1 Mac 2022  dilancarkan secara hibrid oleh Timbalan Ketua Misi Dipomatik Republik Poland di Malaysia, Mr. Dominik Malek.

Turut hadir, Naib Rektor Hal Ehwal Antarabangsa, University of Warmia and Masuria di Olsztyn, Prof. Pawel Wielgosz; Naib Dekan Fakulti Senibina dan Rekabentuk, Akademi Seni Halus di Gdansk, Dr. Rafal Setlak; Akademi Seni Halus, Gdansk, Dr. Dominika  Golebiewska; Dr. Beata Kolakowska dari University of Warmia and Masuria di Olsztyn, dan Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Mua’ti yang mewakili Naib Canselor UPM.

Gabungan 20 hasil karya seni itu - 10 karya daripada Dr. Dominika dan 10 karya Dr. Beata -  disusun atur dan dipamerkan mengikut perincian dan ciri-ciri yang dikehendaki artis dari Poland itu.

Pensyarah Kanan Jabatan Senibina Landskap, FRSB, UPM, Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abdul Syukor berkata artis-artis dari Poland itu meletakkan kepercayaan kepada pihak Galeri Serdang untuk menguruskan pameran ‘The Ways of The Heart’ ini dengan mengirim secara pos hasil karya asli mereka.

Katanya, sebelum ini  artis Malaysia termasuk dirinya telah menghantar artifak berbentuk video secara maya ke Academy of Fine Arts, Gdansk yang bertindak sebagai hos dan kurator bagi pameran ‘Breathing the Waves’ yang pertama di Poland pada Januari lalu.

Pameran itu berlangsung sebagai balasan upacara perasmian yang diadakan secara hybrid pada 21 Januari 2022 yang dihadiri peserta pameran dari Malaysia dan wakil Kedutaan Malaysia di Warsaw. Pameran berlangsung sehingga 13 Februari lalu.

Sebanyak sembilan artifak dipamerkan dan disertai oleh penyelidik dari UPM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pameran itu berfokuskan kepada faktor jarak di antara dua negara, merentasi budaya yang berbeza serta perkongsian daripada kesan pandemik yang dihadapi kedua-dua negara - UPM

SXEaSAZ~