| Universiti Putra Malaysia

Tengku Permaisuri Norashikin lancar buku berkaitan pesakit kanser

SERDANG, 20 Okt - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melancarkan dua buku bertajuk Panduan Untuk Penjaga Pesakit Kanser dan Memahami Kanser: Panduan untuk Pesakit bagi memberi maklumat kepada golongan itu.

Pada majlis itu, Tengku Permaisuri turut melancarkan Wakaf Persatuan Kanser NetWork Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) berkonsepkan wakaf menerusi sumbangan dana bagi membantu pelbagai program untuk pesakit kanser.

Keberangkatan tiba Tengku Permaisuri Selangor diiringi Pengerusi KanWork, Dr Mazanah Muhamad; Isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhamad dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dato’ Dr Aini Ideris.

Pelancaran buku terbitan KanWork itu dibuat sempena Majlis  KanWork Charity Hi Tea 2019   anjuran KanWork dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM), War on Cancer Malaysia dan Persatuan Alumni UPM.

Baginda yang juga Penaung Diraja KanWork juga berkenan menerima replika cek bernilai RM49,001 yang disumbangkan daripada pelbagai pihak.

Dr Mazanah berkata, pihaknya mengadakan majlis KanWork Charity Hi Tea bertujuan mengumpul dana bagi membantu penghidap kanser, keluarga dan penjaga pesakit itu.

“KanWork adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang giat memberi sokongan emosi dan rohaniah kepada pesakit, selain meningkatkan kesedaran memerangi penyakit itu. Walaupun begitu, kami menghadapi cabaran utama untuk menjalankan pelbagai aktiviti kerana dana yang terhad.

"Antara aktiviti dijalankan adalah mewujudkan kumpulan sokongan yang membuat lawatan ke hospital dan rumah selain menawarkan talian Helpline 1-8000-22-8672,” katanya.

Beliau berkata KanWork ditubuhkan 14 tahun lalu bertujuan memberi maklumat dan sokongan kepada pesakit kanser serta meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan awal kanser.

 

 

SXETLAn~