| Universiti Putra Malaysia

Teknologi Retort pilihan inovasi sos labu

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Muhammad Ezham Hussin

Putrajaya, 11 Oktober – Penyelidik Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Nurhayati Khairatun, memilih teknologi retort bagi menghasilkan inovasi sos yang diperbuat daripada labu tanpa bahan pengawet.

Beliau berkata teknologi ini membantu untuk mematikan bakteria pada makanan dan mampu memanjangkan jangka hayat makanan tanpa bahan pengawet selain dapat mengekalkan ketahanan produk.

“Idea pemilihan labu manis untuk dijadikan sos tercetus apabila saya lihat tiada produk tanaman hiliran labu yang dijadikan sos selain fungsinya dibuat lauk, kuih koci, lepat dan sebagainya.

“Dalam pada itu, saya juga ingin membantu para petani tanaman industri labu dengan menggalakkan lagi penanaman labu serta mempelbagaikan lagi hasil keluaran labu,” katanya ketika ditemui di pameran Festival of Ideas yang berlangsung di lobi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pengeluaran sos daripada labu ini turut membantu memacu ekonomi pertanian selain berharap agar ia dapat dipasarkan di seluruh Malaysia.

“Saya juga merancang untuk melakukan teknologi pemindahan kepada komuniti setempat seperti di luar bandar atau kumpulan yang ingin menjana pendapatan boleh mendapat hasil daripada produk hiliran labu manis ini,” katanya.

Jelasnya, beliau juga bersedia untuk membantu dan memberi latihan kepada industri atau kumpulan yang ingin mempelajari teknologi retort memandangkan UPM mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

Terdapat tiga jenis perisa sos hasil inovasi labu manis di bawah jenama Sari Rasa iaitu keju, pedas serta asli dan boleh didapati melalui pembelian di Shopee Pro Rasa Edar Niaga. – UPM

SXDdHAh~