| Universiti Putra Malaysia

Tan Sri Tony Fernandes terima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan

Oleh Azman Zakaria

Foto oleh Marina Ismail dan Noor Azreen Awang

 

SERDANG, 16 Nov - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dikurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan pada Majlis Konvokesyen Ke-43 Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini. 

Ijazah itu disampaikan oleh Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sesi pertama majlis pengurniaan ijazah di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini.

Dalam ucapan balasnya, Fernandes mengucapkan terima kasih kepada UPM atas pemilihannya menerima anugerah itu, yang menurutnya merupakan detik paling bersejarah dalam hidup beliau kerana julung kali dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan.

Beliau turut berkongsi empat petua dan cara beliau mencapai kejayaan dalam kehidupan, dengan yang pertama ialah mengikuti rasa hati sendiri (follow your heart).

Katanya, jangan biarkan sesiapa pun menentukan masa depan anda, dan jangan biarkan sesiapapun menghalang anda daripada mencapai misi kehidupan anda. 

“Buat keputusan mengenai apa yang anda semua mahukan dalam kehidupan,” katanya sambal menjelaskan bahawa ketika berusia 13 tahun, beliau menanam cita-cita untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan (Qantas); pasukan Formula One (Williams) dan pasukan bola sepak (Westham United).

Kini ketika usianya 55 tahun, beliau memiliki AirAsia, pernah memiliki pasukan Formula One Caterham dan pasukan bola sepak Queens Park Rangers.

Katanya, perkara kedua ialah berpegang kepada bahawa pengajian universiti bukan semata-mata mendapatkan ijazah kelas pertama (university is not all about getting a first-class degree), sebaliknya bertujuan untuk mendapatkan pendidikan yang menyeluruh.

“Saya berharap anda semua telah belajar daripada semua peluang yang terdapat di dalam kelas dan juga di luar kelas. Di padang ragbi, di gelanggang tenis, di kolam renang, di hutan belantara, di mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata pekara ketiga ialah menyedari bahawa peluang tidak datang begitu kerap (opportunities do not come very often), dan oleh itu, jika ada sesuatu peluang, maka ia perlu diambil.

Menurutnya, ketika beliau ditawarkan untuk kembali ke Malaysia bagi menerajui Warner Music Malaysia, beliau tidak bertanya mengenai gaji tetapi menerima tawaran itu dengan hati yang terbuka dan berjaya menerajui Warner Music Malaysia menempa pelbagai kejayaan termasuk memperkenalkan muzik dangdut melalui Amelina dan muzik nasyid melalui Raihan.

Perkara keempat katanya, ialah jangan sekali-kali takut dengan kegagalan (never be afraid of failure) kerana kegagalan ada perkara biasa dalam kehidupan.

Katanya, beliau pernah gagal dalam kehidupan dan pernah membuat kesilapan dalam keputusan, namun beliau belajar daripada kesilapan itu.

“Pasukan Formula One saya tidak berjaya tetapi saya gembira membuat keputusan untuk menceburinya. Saya gagal tetapi saya akan menyesal jika saya tidak melakukannya. Ini kerana kita hidup hanya sekali dan masa tidak akan dapat diputar kembali untuk kita melakukan apa yang kita mahu lakukan,” katanya.

Beliau juga berkata, adalah menjadi harapannya agar graduan mengambil inisiatif meningkatkan ilmu, kemahiran dan kompetensi bukan sahaja dalam kerjaya, tetapi juga dalam menguruskan sumber kewangan agar tidak terperangkap dalam hutang yang boleh menjejaskan karier serta masa depan. – UPM

 

SXETKAc~