| Universiti Putra Malaysia

Tambah pendapatan program mobiliti melalui perniagaan di bazar Ramadan

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Harun  

SERDANG, 31 Mac – Sekumpulan pelajar Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG) Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil peluang berniaga di bazar ramadan kolej berkenaan bagi menambah pendapatan menampung kos perbelanjaan program mobiliti yang akan disertai mereka pada September akan datang.

Pelajar semester dua, Bacelor Sains Matematik, Nurshuhairah Rosmi, 20, berkata penganjuran bazar di kolej juga membantu beliau menimba pengalaman berniaga.

“Kami akan mengikuti program mobiliti ke Korea pada September tahun ini. Jadi, ini ialah salah satu usaha kami mencari dana dan hasil jualan kuih-muih yang kami ambil daripada pengedar sedikit sebanyak akan digunakan bagi menampung kos program mobiliti tersebut.

“Saya berasa seronok berniaga sebab mempunyai peluang berinteraksi dengan pengunjung bazar dan meningkatkan kemahiran dalam bidang usahawan terutamanya cara untuk menarik perhatian pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Majlis Perwakilan Kolej (MPK) keusahawanan, Salsabila Hanani Jauhari Affendi, 20, pula menjual pelbagai jenis air bagi menjana pendapatan sekretariat keusahawanan kolejnya.

“Sebenarnya, apabila saya telah dilantik menjadi MPK kolej saya mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjana pendapatan sekretariat,” katanya. -UPM

SXETDAY~